Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil melalui pindaan undang-undang. 

Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, pihaknya sudah mengemukakan memorandum berhubung perkara itu dan akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat, Mac tahun depan.

Menurutnya, cadangan pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil yang akan dikuatkuasakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171]. null

“Kita akan menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) ke atas tiga akta itu yang kini hampir siap dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang iaitu Mac 2025.

“Objektif pelaksanaan hukuman ini bagi memberi keinsafan dan kesedaran kepada pesalah yang mana mereka dikehendaki memakai jaket khas dan dikenakan hukuman mengikut tempoh jam agregat ditetapkan. 

“Ia bagi mencegah pesalah mengulangi kesalahan dan mematuhi undang-undang ditetapkan, mendidik supaya prihatin terhadap kebersihan persekitaran dan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar serta risiko penyakit bawaan vektor,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Media KPKT, di sini hari ini. 

Kor Ming berkata, walaupun Malaysia sudah mencapai pelbagai kemajuan dalam usaha menuju status negara maju namun isu pembuangan sampah kecil merata-rata masih menjadi kebimbangan.

“Pada masa ini, penguatkuasaan berkaitan isu itu masih dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui punca kuasa di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133].

“PBT juga mempunyai punca kuasa berkaitan penguatkuasaan sampah kecil di bawah Akta 171 melalui pewartaan undang-undang kecil namun tidak membabitkan hukuman khidmat masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai penambahan kamera litar tertutup (CCTV), Kor Ming berkata, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk Program Bandar Pintar tahun hadapan. 

“Antara komponen Program Bandar Pintar atau Smart City termasuk bandar yang selamat dengan pemasangan CCTV di lokasi yang strategik. 

“Kita juga akan pastikan semua individu dipantau bukan saja untuk tangkap pesalah ‘ulat sampah’ tetapi paling penting adalah menjaga keselamatan penduduk bandar selain mengurang jumlah kes jenayah,” katanya.-BH Online