Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan stok bekalan barangan keperluan asas bagi negeri yang dilanda banjir adalah mencukupi.

Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh, berkata KPDN sudah mengeluarkan lesen khas kepada pemborong untuk menambah stok bekalan keperluan hingga 30 peratus sebagai persediaan jika penghantaran bekalan terputus akibat banjir.

“Kita sudah membuat persediaan sekurang-kurangnya dua bulan lalu dan seperti sekarang kita tahu Kelantan seolah-olah terkepung kerana banjir dan sukar untuk bekalan masuk. Tapi tidak perlu bimbang kerana mereka di sana (pemborong) sudah bersedia dengan stok yang kita percaya mencukupi.

“Jadi tidak akan timbul isu bekalan dari Kuala Lumpur untuk sampai negeri-negeri yang mengalami banjir atau dijangka turut terjejas kerana bekalan sudah siap sedia berada dalam kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan gudang baharu penyimpanan tong komposit gas petroleum cecair (LPG) ACGas Cawangan Melaka di Kawasan Perindustrian Tasik Utama Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Pisar Aziz.

Media melaporkan keadaan banjir di sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Melaka dan Johor semakin buruk dan mencecah lebih 86,000 daripada 26,578 keluarga setakat jam 2.30 petang ini. – BERNAMA