KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersedia untuk terbabit dalam sesi libat urus bagi meneliti pindaan Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525], khususnya aspek memudah cara pembangunan serta integrasi industri unsur nadir bumi (REE) di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Timbalan menterinya, Liew Chin Tong berkata langkah pindaan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ini adalah penting bagi memastikan perundangan berkaitan mineral adalah terkini dan relevan untuk situasi industri mineral semasa.
“MITI bersedia melihat kepada aspek obligasi perjanjian perdagangan antarabangsa dalam memastikan pembangunan industri hiliran REE diberi keutamaan di atas dasar kepentingan negara.
“Pindaan Akta yang berkesan akan memberikan kejelasan dalam dasar kerana pelabur memerlukan kepastian dan kejelasan di peringkat rangka kerja perundangan sebelum membuat keputusan untuk melabur,” katanya pada sesi Kamar Khas, Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab isu mengenai penyelidikan impak ekonomi bagi mineral kritikal berdasarkan pendekatan rantaian bekalan dan nilai dari lombong ke mikrocip (mine to microchip) yang dibangkitkan oleh Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor).
Dalam pada itu, Liew turut berkata pindaan akta yang menangani isu-isu alam sekitar, pengurusan sumber dan tadbir urus akan memberi isyarat positif kepada pelabur bahawa Malaysia komited terhadap pembangunan industri REE yang mampan dan bertanggungjawab.
Dengan menunjukkan komitmen yang konsisten terhadap perlindungan alam sekitar, pengurusan sumber yang berhemah dan tadbir urus yang baik, Malaysia dapat membina keyakinan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing dalam industri REE, tambahnya.
Seterusnya, bagi memastikan pembangunan menyeluruh rantaian nilai industri REE, Liew berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem industri yang lebih holistik dan bersepadu.
Bagi tujuan itu, beliau berkata sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan pada November 2024 bagi membincangkan isu-isu serta menetapkan hala tuju pembangunan industri REE di Malaysia.
“Special task force (pasukan petugas khas) ini berperanan melihat daripada aspek berkaitan pelaburan, teknologi dan insentif termasuk penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).
“Tiga Jawatankuasa Teknikal ditubuhkan melalui special task force ini yang akan membincangkan pembangunan industri REE peringkat huluan yang diterajui oleh NRES; pembangunan industri peringkat pertengahan dan hiliran yang diterajui oleh MITI serta teknologi termasuk penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ,” katanya.- BERNAMA