KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memastikan semua daerah di setiap negeri mempunyai pos pengecasan langsung (DC) untuk kenderaan jenis berkuasa elektrik (xEV).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata menjelang 2025, MITI akan meningkatkan sasaran pos pengecas DC dari 1,000 unit ke 1,500 unit.
“Tumpuan bukan kepada berapa pos pengecasan tetapi pos pengecas DC kerana DC adalah pengecasan berkelajuan tinggi.null
“Ketika ini kita mempunyai 500 pos pengecas DC. Untuk daerah yang tiada pos pengecasan itu, MITI sedang bekerjasama dengan Kerajaan Selangor dan Johor untuk memastikan sekurang-kurangnya ada beberapa pos pengecas DC.
“Kami harap selepas projek rintis ini, kita boleh meluaskan kepada semua negeri,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismai (PN-Kubang Pasu) mengenai pendekatan kerajaan untuk memajukan EV dan stesen pengecasan di kawasan luar bandar.
Sementara itu, Chin Tong turut memaklumkan sebanyak 33,319 unit kenderaan penumpang dan perdagangan jenis berkuasa elektrik (xEV) dijual sehingga 30 September lalu.
Katanya, penjualan kenderaan xEV itu merangkumi Hybrid, Plug-In Hybrid, Battery Electric Vehicle (BEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV).
“Salah satu sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) adalah untuk mencapai jualan kenderaan xEV sebanyak 80 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) pada tahun 2050.
“Kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif membabitkan fiskal untuk menggalakkan syarikat tempatan mempertingkatkan usaha mengeluarkan kenderaan elektrik bagi menyokong halatuju pembangunan industri automotif tempatan.
“Antara inisiatif berkaitan fiskal yang ditawarkan oleh kerajaan merangkum pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais untuk EV jenis CBU import sehingga 31 Disember 2025 serta pengecualian sepenuhnya duti import, eksais dan cukai jualan untuk EV yang dikeluarkan dalam negara sehingga 31 Disember 2027,” katanya.
Chin Tong berkata kerajaan turut memperkenalkan inisiatif untuk pembangunan ekosistem EV sebagai sokongan kepada pembangunan industri EV.
Antaranya penyediaan kemudahan pengecasan EV dengan sasaran sebanyak 10,000 petak pengecas EV Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) menjelang tahun 2025.
“Kerajaan juga menggalakkan industri automotif lebih giat meneruskan peralihan kepada industri pembuatan yang lebih hijau.
“Misi `Push for Net Zero’ di bawah polisi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bertujuan untuk menyahkarbonkan industri Malaysia melalui pelaksanaan kecekapan tenaga dan pembinaan kenderaan elektrik buatan tempatan,” katanya.-BH Online