Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti cadangan bagi pelaksanaan pembekalan dan penghantaran input pertanian bersubsidi secara persaingan terbuka. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata melalui sistem persaingan terbuka, semua pengilang baja termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan mempunyai peluang sama untuk menyertai tender terbuka sekiranya diiklankan kelak. 

Beliau berkata, pembekalan input pertanian bersubsidi kepada pesawah pada masa ini dilaksanakan oleh pembekal tunggal dilantik kerajaan iaitu NAFAS.

“Pelantikan ini adalah berdasarkan pengalaman luas NAFAS dalam pembekalan dan pengedaran input pertanian bersubsidi sebelum ini. 

“NAFAS juga mempunyai rangkaian organisasi pembekalan yang lengkap sehingga ke peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebagai jentera di lapangan dan stokis untuk pembekalan input pertanian terbabit,” katanya menjawab Datuk Seri Dr Ronalad Kiandee (PN-Beluran) menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KPKM katanya, mengambil maklum akan cadangan pelbagai pihak ke arah pelaksanaan kaedah persaingan terbuka, bagi mengelak monopoli dalam pembekalan baja bersubsidi oleh kerajaan. 

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob sebelum ini menegaskan, tidak wujud istilah kartel atau monopoli baja dalam pembekalan baja yang diuruskan oleh pertubuhan itu.

Beliau berkata, pembekalan baja adalah melalui rantaian Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan yang membuat pesanan pembekalan dan seterusnya baja yang dibekalkan oleh NAFAS akan dihantar kepada pesawah yang berdaftar sebagai ahli Peladang.-BH Online