Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) perlindungan kanak-kanak dalam skala besar.

Ia susulan pengalaman mengendalikan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISB Holdings (GISBH) sebelum ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pengalaman itu dilihat sebagai pengurusan risiko yang memerlukan tindakan pantas.

“Dalam kes ini, pihak polis tiada bidang kuasa melindungi kanak-kanak yang diselamatkan (dalam Op Global).

“Justeru, kami bertindak pantas dengan melihat aspek aset dan penempatan mereka. 

“Kita perlu melakukan susun atur bagi memindahkan mereka ke tempat perlindungan yang diwarta dengan memastikan kelengkapan seperti katil mencukupi dengan persekitaran selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; serta Pengerusi Majlis Perwakilan Kanak-Kanak, Daniel Haqeem Darul Hafiz.

Majlis dirasmikan isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Nancy berkata, KPWKM menghargai bantuan dihulurkan pihak swasta dalam meringankan beban menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kami perlu memastikan tempat perlindungan mempunyai kelengkapan mencukupi dan apabila aset seperti katil tidak cukup, kita perlu beli.

“Syukurlah banyak agensi swasta membantu meringankan beban dan mempercepatkan proses mendapatkan aset berkaitan.

“Situasinya kompleks dan memerlukan kesabaran tinggi dalam kalangan pegawai yang berdepan kekangan, namun semuanya berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai agensi,” katanya. 

Dalam perkembangan berasingan, Nancy berkata, sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 hari ini, menandakan pelancaran Dasar Kanak-Kanak Negara yang baharu. 

Katanya, dasar itu memberi beberapa fokus termasuk perlindungan daripada keganasan, eksploitasi dan pengabaian.

“Antara fokus lain adalah perkembangan holistik dari segi fizikal, emosi, mental dan kerohanian. 

“Ia juga memberi fokus kepada penyertaan kanak-kanak dalam proses membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka,” katanya. 

Beliau berkata, dasar itu akan menjadi langkah penting dalam memperkukuh usaha menjaga kebajikan kanak-kanak dengan penuh perhatian. 

“Ia juga bagi memastikan suara mereka didengari dan diambil kira dalam setiap keputusan yang memberi kesan kepada masa depan mereka,” katanya. -BH Online