Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEOUL: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara itu.

Menurut Wisma Putra, Anwar dan delegasi dijadual tiba jam 10 malam ini waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

Pertemuan kedua-dua pemimpin dijangka berlangsung di Pejabat Presiden di Yongsan di sini, dengan perbincangan bakal menyentuh hubungan dua hala Malaysia dan Korea Selatan yang berkembang sejak menjalin hubungan diplomatik pada 1960. 

Kenyataan itu menyebut, Anwar dan Suk Yeol dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama, selain bertukar pandangan mengenai kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan kepengerusian APEC-Korea Selatan 2025.

Wisma Putra berkata, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu Kerjasama Pendidikan Tinggi, Kerjasama Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon serta Pendekatan Kerjasama di Bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris.

“Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan dan pertemuan dengan kapten industri dari syarikat terkemuka Korea Selatan.

“Beliau juga dijadual menyampaikan ucapan khas bertajuk ‘Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia’ di Universiti Kebangsaan Seoul pada hari terakhir lawatannya,” katanya.

Lawatan Anwar ke Korea Selatan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Ia adalah rasmi pertama Anwar ke Korea Selatan sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.

Wisma Putra berkata, lawatan rasmi itu akan mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan Korea Selatan.

“Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik pada 2025,” katanya.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan mencatat nilai RM81.61 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini. 

Sebanyak 392 projek sektor pembuatan dengan kepentingan Korea Selatan dilaksanakan di Malaysia dari 1980 hingga Jun lalu, dengan nilai pelaburan mencecah RM43.10 bilion.

Pada 2023, Korea Selatan adalah rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.07 bilion.

Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan dalam kalangan negara anggota ASEAN dan ke-12 terbesar di peringkat global.-BH Online