Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 25 tokoh wanita yang berkelayakan daripada pelbagai latar belakang dipilih untuk menerima geran peruntukan menerusi Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ia bagi membolehkan tokoh wanita terbabit menjalankan program pembangunan kepemimpinan dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata kesemua tokoh yang terpilih itu akan diberikan sijil dan geran peruntukan pada 27 November ini.null

“Selepas program itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kita sebarkan melalui media sosial, ramai berminat di mana lebih 4,000 permohonan diterima.

“Namun tahun ini kita mengiktiraf seramai 25 selepas dipilih oleh panelis terkemuka di Malaysia,” katanya pada Majlis Sepetang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama pengamal media wanita Malaysia yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, Farah Adura Hamidi; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, Chua Choon Hwa, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukor Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Puan Hanani Sapit dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Wan Noraidah Wan Mohd Zain.

Pengurusan tertinggi media yang turut hadir adalah Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Farrah Naz Abd Karim; Pengarang Berita Kanan Berita Harian (BH) merangkap Presiden PERTAMA, Sariha Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nur-ul Afida Kamaludin.

Pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri mengumumkan inisiatif RM5 juta bagi memperkasa kepemimpinan wanita melalui bimbingan tokoh wanita berjaya.

Pada masa sama, Nancy berkata, pihak kementerian tidak terbabit dalam pemilihan tokoh wanita dalam program PERANTIS, sebaliknya ia dipilih oleh panel antaranya Tan Sri Idris Jala.

Beliau berkata, PERANTIS yang mengiktiraf peranan tokoh wanita dalam pelbagai bidang antaranya politik, ekonomi dan sosial.

Katanya, besar harapannya untuk melihat lebih ramai tokoh wanita dalam politik kerana kekurangan pembabitan golongan terbabit dalam bidang berkenaan.

“Walaupun PERANTIS bukan kepentingan politik sahaja, namun turut membabitkan ekonomi dan sosial tetapi saya hendak melihat dalam politik sebab kalau kita tidak buat, siapa lagi hendak buat.

“Kita mahu tengok penyertaan lebih banyak wanita lagi kerana program ini akan berterusan pada tahun hadapan,” katanya.

Dalam konteks media, Nancy berkata, pihaknya sedia bekerjasama untuk mengeratkan lagi hubungan antara media khususnya melalui PERTAMA dan kementerian.

Beliau berkata, mengenai cadangan mewujudkan tabung kebajikan bagi membantu ahli PERTAMA dan media wanita di negara ini, Nancy berkata, perkara itu boleh diperhalusi kelak.

Terdahulu, Nancy menyerahkan plak antigangguan seksual kepada 20 pengamal media wanita sebagai simbolik untuk media memainkan peranan menyebarluaskan inisiatif antigangguan seksual.

Sementara itu, dalam usaha memerangi gangguan seksual dalam kalangan pengamal media wanita, Sariha, berkata perkara sedemikian harus dilaporkan serta-merta dan diambil tindakan sewajarnya.

“Kita bertugas di luar dan berhadapan dengan banyak pihak, memang tidak dinafikan ada juga ahli-ahli media yang menghadapi gangguan seksual.

“Perkara ini seharusnya tidak berlaku sebab kita sebagai barisan hadapan, kita tahu benda ini adalah satu kesalahan yang tak perlu dilakukan, jadi kita sama-sama beringat tindakan sedemikian boleh didakwa dan kita sebagai golongan media akan sebarkan maklumat seperti ini untuk pengetahuan orang ramai,” katanya.

Dalam ucapannya, Sariha mencadangkan KPWKM mewujudkan tabung kebajikan khas bagi membantu mana-mana ahli PERTAMA yang kurang bernasib baik termasuk mereka yang berdepan masalah kesihatan.

Beliau turut mencadangkan diwujudkan insurans khas media wanita dengan skim lebih menarik.

PERTAMA ditubuhkan pada 1971 oleh Allahyarhamah Azah Aziz atau nama sebenar Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff dan merupakan persatuan media tertua membabitkan petugas media wanita di negara ini.-BH Online