KUCHING: Penjawat awam Sarawak menerima bayaran bantuan khas kewangan (BKK) dua bulan gaji yang akan dibayar penghujung bulan depan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata pemberian BKK itu akan dibuat mengikut gaji pokok terakhir November 2024.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak juga menghargai sumbangan kakitangan awam Persekutuan dan mereka akan menerima BKK sebanyak RM700.
“Tahun 2024 menyaksikan banyak kejayaan dicapai oleh Sarawak dalam pelbagai bidang dan ini adalah hasil sumbangan semua pihak, termasuk anggota perkhidmatan awam Sarawak dan anggota perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.
“Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen anggota perkhidmatan awam Sarawak, sukacitanya saya ingin mengumumkan BKK sebanyak dua bulan dan kita juga berterima kasih atas sumbangan anggota perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak saya ingin mengumumkan BKK sebanyak RM700 seorang secara ‘one-off’ yang akan dibayar pada suku pertama Tahun 2025.
“Jumlah keseluruhan implikasi kewangan bagi kedua-dua insentif BKK itu adalah dianggarkan sebanyak RM190 juta,” katanya.
Beliau mengumumkan bantuan itu ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak pada 11 November lalu, Abang Johari mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak akan menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, ianya akan membabitkan penambaikan dan penyelarasan gaji semua anggota perkhidmatan awam di Sarawak.
“Sebagai tambahan kepada penyelarasan gaji dalam SSPA, mulai Januari 2025, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga bersetuju untuk memperkenal dan memberi elaun khas bulanan kepada anggota Perkhidmatan Awam Sarawak berdasarkan gred kumpulan.
“Elaun khas RM400 sebulan bagi kumpulan pelaksana Gred 1 hingga Gred 4; RM500 bagi kumpulan pelaksana Gred 5 hingga Gred 8.
“Kumpulan pengurusan dan profesional Gred 9 hingga Gred 15 akan menerima elaun khas RM600 manakala kumpulan pengurusan tertinggi akan menerima elaun khas sebanyak RM700,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari turut mengumumkan bantuan wang saku untuk anak Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
“Dalam ucapan Belanjawan 2025 saya, saya memberikan butiran lanjut mengenai wang saku RM1,200 ini, diberikan kepada pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah dengan pendapatan per kapita isi rumah RM1,500 ke bawah.
“Beberapa Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini menyuarakan kebimbangan mereka untuk menggunakan pendapatan per kapita sebagai kriteria kelayakan untuk bantuan ini.
“Justeru, saya mendengar kebimbangan ini, dan saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa semua pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia akan layak menerima wang saku itu secara one-off, tanpa mengira pendapatan keluarga mereka,” katanya.-BH Online