PUTRAJAYA: Malaysia dan Vietnam setuju memperkasakan usaha sama dalam pertahanan, maritim, digital dan sektor tenaga termasuk berkaitan Grid Kuasa ASEAN, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata perkara itu dicapai menerusi pertemuan empat mata dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam di sini, hari ini.
Anwar berkata, kedua-dua negara menyatakan komitmen dalam kerjasama terbabit terutama ke arah memperkukuhkan hubungan dengan lebih komprehensif.
“Setiausaha Agung (To Lam) bersikap sangat terbuka dan menyokong, begitu juga dengan para pemimpin di Vietnam. Saya percaya kami sudah menyatakan penghargaan kami.
“Oleh itu, kami akan memastikan kerjasama dalam semua bidang dapat dipermudahkan, termasuk (dalam sektor) pertahanan, maritim, seperti dua perjanjian persefahaman (MoU) (yang ditandatangani) antara MATRADE dan Petronas, digital serta tenaga melalui Grid Kuasa ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama To Lam sempena lawatan rasmi Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam ke Malaysia selama tiga hari mulai hari ini.-BH Online