Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERI ISKANDAR: Hospital Seri Iskandar (HSI) bernilai RM153.18 juta akan beroperasi mulai 11 Disember depan, bagi memperkukuh perkhidmatan sektor kesihatan rakyat khususnya di sekitar daerah Perak Tengah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata hospital baharu berkeluasan 26.783 hektar itu mempunyai kapasiti 76 katil dan kepakaran perubatan kecemasan, perubatan serta pembedahan am, pediatrik, psikiatri, ortopedik, obstetrik, ginekologi serta radiologi.

Katanya, hospital yang diluluskan menerusi Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) itu siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun tanpa lanjutan masa (EOT).

Bagi pengoperasian, katanya, sebanyak 516 perjawatan baharu diluluskan meliputi 22 jawatan pegawai perubatan, 97 penolong pegawai perubatan, 137 jururawat, dan 260 jawatan bagi skim perkhidmatan lain.

“HSI akan meneruskan peranan Hospital Changkat Melintang, Bota sebagai ‘Non-Lead Hospital’ yang mana perkhidmatan kepakaran disalurkan dari Hospital Seri Manjung sebagai Lead Hospital.

“Melalui pendekatan ini, HSI akan mendapat akses kepada perkhidmatan kepakaran secara kluster,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Seri Iskandar dan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Dzulkefly berkata, bagi mengoptimumkan hospital itu, KKM merancang meningkatkan kekerapan lawatan pakar dalam semua bidang perubatan.

Bagaimanapun, jelasnya, ia perlu mengimbangi keperluan perkhidmatan dan permintaan antara Hospital Seri Manjung dan HSI supaya perkhidmatan di hospital utama tidak terjejas.

“Seorang pakar perubatan am dan seorang pakar klinikal kecemasan juga akan ditempatkan di HSI secara residen.

“Melalui pendekatan ini, isu kadar penggunaan katil (BOR) yang rendah di Hospital Changkat Melintang sebelum ini iaitu 44 peratus sahaja, dapat diatasi.

“Hospital Changkat Melintang akan terus beroperasi dan KKM dalan proses menilai potensi hospital ini untuk dijadikan pusat hemodialisis, terutama bagi pesakit di kampung berdekatan,” katanya.

Mengenai Blok Tambahan Hospital Seri Manjung, Dzulkefly berkata, projek bernilai RM75 juta itu membabitkan pembinaan dua bangunan baharu yang siap pada 27 Ogos lalu.

Katanya, bangunan pertama empat tingkat menyediakan klinik pakar dengan 22 bilik pemeriksaan dan konsultasi untuk perkhidmatan kepakaran ENT, bedah mulut maksilofasial serta pergigian pediatrik.

“Sebuah lagi bangunan setingkat menempatkan wad psikiatri.

“Sebanyak 48 katil dan empat dewan bedah baharu ditambah menjadikan keseluruhan Hospital Seri Manjung memiliki 353 katil dan tujuh bedah,” katanya.-BH Online