DUBAI: Malaysia memperoleh ilmu berharga, di samping mengukuhkan hubungan dua hala dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan lawatan kerja selama tujuh hari oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ke negara ini.
Ahmad Zahid berkata, lawatannya ke Abu Dhabi dan Dubai itu antara lain membolehkan Malaysia mempelajari komunikasi satelit L-Band untuk digunakan dalam pengurusan risiko bencana.
“Kedua, kita telah mempelajari bahawa (aliran) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dimulakan pada peringkat awal usia (di UAE) dan perkara ini mungkin boleh disesuaikan dengan sistem pendidikan di Malaysia.
“Ketiga ialah mengenai produk halal yang bukan sekadar pameran (MIHAS@Dubai 2024) tetapi lebih daripada itu. Kesan daripada pameran itu telah dapat menggamit pembeli berpotensi,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media sempena hari terakhir lawatannya ke UAE, hari ini, dan penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS@Dubai) 2024 oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang berlangsung di sini selama tiga hari dari 18 hingga 20 November.
MIHAS@Dubai 2024 diadakan seiring dengan Ekspo Produk Organik & Asli Timur Tengah, yang disokong oleh Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Seterusnya, Ahmad Zahid memaklumkan tindakan susulan terhadap semua hasil lawatan itu, terutama berkenaan pelan kerjasama antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence untuk mewujudkan sebuah fakulti kecerdasan buatan (AI) di UniKL, akan dilaksanakan.
Beliau sekali gus menzahirkan penghargaan kepada MATRADE, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan lain yang bersama-sama MATRADE mempromosikan produk serta perkhidmatan halal.
“Pada Mei 2025, akan ada Sidang Kemuncak ASEAN serta GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dan pihak MATRADE akan mengadakan pameran yang mungkin lebih besar daripada apa yang ada di Dubai ini, menggamit potensi daripada pembeli-pembeli negara GCC untuk menempah barangan dari negara kita,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan UAE sebagai antara negara penting dalam kalangan GCC kerana UAE menyumbang 42.1 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia dengan GCC.
“Pencapaian ini membuktikan peranan penting UAE sebagai rakan dagang strategik Malaysia, dan menyerlahkan kepentingan penganjuran MIHAS@Dubai 2024 sebagai pemangkin untuk memperkukuh hubungan dua hala serta memupuk pertumbuhan bersama,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan Dubai sebagai hab perdagangan global pastinya menyediakan ekosistem perniagaan Malaysia untuk akses ke pasaran GCC dan Asia Barat serta Afrika Utara yang lebih luas. – BERNAMA