Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LIMA: Ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) perlu bangkit menjadi pemimpin yang menetapkan standard untuk rantau yang inklusif, inovatif dan berdaya tahan dan bukannya pengikut trend global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbincangan pakatan itu yang dilakukan menerusi platform berkenaan pada ketika ini berkemungkinan besar akan membentuk masa depan jutaan penduduk.

“Kita berdiri di ambang perubahan, dengan kuasa untuk membentuk masa depan yang ditakrifkan oleh daya tahan, kesaksamaan dan inovasi. null

“Biarlah Sidang Kemuncak (APEC) ini dikenang kerana menukar aspirasi menjadi pencapaian dan deklarasi menjadi tindakan.

“Legasi kita tidak akan ditulis berdasarkan janji-janji yang kita buat tetapi oleh impak yang kita tinggalkan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pencelahan (Intervensi) Malaysia pada Sesi Pemukiman Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) APEC ke-31, di sini.

Sementara itu, menurut Anwar, keselamatan makanan adalah cabaran mendesak yang menjejaskan setiap ekonomi di rantau Asia-Pasifik.

“Kita berada di sini bukan hanya untuk berbincang, kita di sini untuk bertindak dan membawa perubahan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, APEC boleh membina kejayaan dengan menyokong kerangka kerja menyeluruh yang bertujuan untuk mengurangkan separuh sisa makanan menjelang 2030, selain mempromosikan amalan pertanian lestari.

“Krisis iklim menuntut tindakan segera dan bersatu padu. APEC harus memanfaatkan semangat inovasi untuk memacu usaha kolektif ke arah tenaga bersih, kemajuan teknologi dan amalan lestari,” katanya.

APEC adalah forum ekonomi serantau yang dibentuk pada 1989 bertujuan menggalakkan perdagangan bebas dan memanfaatkan peningkatan kesalinghubungan rantau Asia Pasifik.

APEC terdiri daripada 21 ekonomi anggota termasuk Malaysia, dengan hampir 40 peratus penduduk dunia, menyumbang separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada pertumbuhan ekonomi global.-BH Online