Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANDAR BAHARU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bakal memiliki makmal khas yang berkemampuan mengesan dadah sintetik, termasuk bahan terlarang terkandung dalam vape.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dua makmal itu akan dibina di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Kedah dan Johor, dalam masa terdekat.

Beliau menjelaskan selepas ini, Pegawai Pemulihan AADK akan turut diberi kuasa menjalankan ujian awal terhadap bahan terlarang mengikut pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 2024 yang diluluskan pada Ogos lalu.

“Sebelum ini, proses ujian itu hanya dilakukan doktor perubatan tetapi selepas pindaan akta terbabit, tugas berkenaan boleh dilaksanakan oleh Pegawai Pemulihan AADK. Namun, kita masih akan menempatkan doktor perubatan di PUSPEN.

“Kita sedang dalam proses membina makmal ujian ini, sebuah di Johor dan sebuah lagi di Kedah. Ini adalah langkah ke hadapan untuk memastikan makmal ujian berada di PUSPEN.

“Kita mempunyai kemampuan, dan pegawai ada kepakaran untuk mengesan bahan itu. Di makmal itu, semua bahan terlarang boleh dikesan tanpa sebarang keraguan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Peluncuran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir. Hadir sama ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan keupayaan AADK menangani isu dadah sintetik, termasuk bahan terlarang yang terdapat dalam vape.

“Dadah yang menjadi ancaman baharu kepada kita sekarang bukan dadah konvensional tetapi dadah sintetik yang tampil dalam pelbagai bentuk dan nama. Ia sangat dinamik kerana dibuat di ‘makmal’.

“Dalam banyak dadah sintetik yang dihasilkan, ia ada ciri persamaan, iaitu keaslian sangat tinggi… maknanya bahan yang memberikan kesan sangat tinggi,” katanya.-BH Online