LIMA, Peru: Malaysia menaruh harapan Presiden Amerika Syarikat (AS) baharu dipilih, Donald Trump terus mendukung prinsip perdagangan bebas dan adil yang menjadi asas kerjasama ekonomi antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan prinsip itu penting untuk memastikan hubungan perdagangan yang menguntungkan semua pihak termasuk negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
“Ucapan pemimpin APEC secara umumnya menyatakan sokongan terhadap semangat perdagangan bebas dan adil.
“Kita berharap semangat ini diterima oleh semua, termasuk Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini, hari ini.
Anwar turut menekankan bahawa Malaysia sebagai negara yang aktif berdagang dengan pelbagai negara termasuk AS, mahukan dasar perdagangan yang terbuka dan saksama.
“Belum ada tanda-tanda awal bahawa semangat ini, prinsip ini mahu dikorbankan dan dilanggar,” katanya merujuk kepada kebimbangan mengenai kemungkinan perubahan dasar perdagangan AS yang lebih ketat di bawah pentadbiran baharu.
Perdana Menteri juga menyatakan keyakinan bahawa pelaburan AS di Malaysia, yang kini berada pada tahap tinggi, akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Mengenai dasar tarif baharu yang dirancang AS, Anwar berkata, adalah penting bagi negara anggota APEC untuk memberi penekanan terhadap elemen perdagangan yang adil.
“Di Kuala Lumpur, kita mungkin mempunyai fokus yang berbeza, tetapi denominator yang sama adalah memastikan perdagangan yang bebas dan adil dilaksanakan,” katanya.
Sambil mengulas peranan Malaysia di dalam APEC, Perdana Menteri menyatakan bahawa negara akan terus memperjuangkan prinsip keadilan dalam perdagangan antarabangsa dan memastikan kepentingan Malaysia terjamin.
Sementara itu, China dilaporkan akan bertindak balas sekiranya Trump meneruskan rancangan untuk mengenakan tarif 60 peratus ke atas import dari China.
China juga mungkin akan membawa kes itu ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Tarif itu, jika dinaikkan akan memberi kesan kepada mata wang China.
China adalah pemegang kedua terbesar bon Perbendaharaan AS selepas Jepun, dengan pegangan sekitar AS$775 bilion (RM3.6 trilion).
Ketika menjadi presiden, Trump pernah mengenakan tarif sehingga 25 peratus ke atas lebih AS$300 bilion import dari China, yang mencetuskan tindak balas balas dari Beijing.
Presiden Joe Biden pula mengekalkan kebanyakan tarif itu sejak mengambil alih pentadbiran.
Dalam kempen terbaharunya, Trump mengancam untuk menaikkan tarif ke atas barangan China sehingga 60 peratus, satu langkah yang meruntuhkan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.-BH Online