Kota Tinggi : Keputusan hukuman terhadap lima pelaku membabitkan dua kes buli berasingan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan diketahui dua minggu lagi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan (Mindef) juga memutuskan hukuman sangat berat termasuk diberhentikan pengajian, membayar denda dan bayar balik wang tajaan.
Namun katanya, hukuman itu perlu mendapat pengesahan daripada Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT).
“Dan kementerian pertahanan sudah ada keputusan mengenai kadet yang terbabit tempoh hari ini, kita hanya menunggu pengesahan daripada Majlis Angkatan Tentera.
“Kalau memang mereka akan dihukum untuk dibuang. Mereka akan perlu bayar denda iaitu pulang balik segala tanggungan yang kerajaan telah keluarkan sepanjang mereka jadi kadet belajar di universiti dan mereka mesti keluar dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).
“Maknanya, bila hukuman disahkan dalam Mesyuarat MAT dalam masa dua minggu lagi. Keputusan sudah ada seperti yang saya katakan. Ia membabitkan dua kes yang membabitkan lima kadet, salah seorang yang kes buli seterika,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Kota Tinggi di Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi di sini, malam tadi.
Menurut Mohamed Khaled, selain mengenakan hukuman berat terhadap pelaku, Mindef juga katanya akan memperketatkan tindakan terhadap pihak atau individu yang menyorokkan insiden buli yang terjadi dalam UPNM, serta pihak yang tidak memaklumkan kejadian buli terbabit.
“Selain usaha menambah jurulatih dan mengasingkan pelajar tahun satu dan pelajar senior. Kita juga akan memperketatkan hukuman dan menghebahkan supaya semua tahu sebagai satu literal kalau sesiapa terbabit dalam soal kekejaman, buli dan penderaan, hukuman adalah sangat berat.
“Kita juga akan memperketatkan tindakan terhadap mereka yang menyorok atau tidak memaklumkan (kejadian buli) jadi ini antara yang kita buat,” katanya.-Harian Metro Online