Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyelaras penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Negara bagi memelihara keselamatan negara daripada ancaman baik dari luar mahupun dalaman.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata ia termasuk melindungi Institusi Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan keharmonian antara agama.

Beliau berkata, penyelarasan penggubalan RUU itu dibuat selepas kajian bagi menilai sama ada pindaan terhadap Akta Hasutan 1948 perlu dibuat supaya ia seiring peredaran masa dan ledakan digitalisasi, atau menggubal sebuah akta baharu bagi menangani isu agama, kaum dan institusi raja (3R).null

“Susulan kajian itu, kementerian membentangkan Memorandum Jemaah Menteri bagi penetapan dasar berkaitan perkara itu.

“Jemaah Menteri bersetuju secara dasar supaya Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri menyelaras penggubalan RUU Keselamatan Negara bagi memelihara keselamatan negara daripada ancaman luar dan dalaman termasuklah melindungi Institusi Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan keharmonian antara agama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Kuching) mengenai pelan kerajaan sama ada untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 atau memindanya supaya hanya digunakan untuk perkara yang menyentuh institusi diraja dan tidak disalah gunakan untuk isu lain.

Berhubung status terkini Akta Hasutan 1948, Shamsul Anuar berkata akta itu akan dikekalkan buat masa kini bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.null

Mengenai soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai usaha mengawal ancaman aktiviti penculikan dan rompakan di perairan Pantai Timur Sabah, beliau berkata KDN dari semasa ke semasa mengemas kini ‘senarai entiti ditentukan’ yang diklasifikasikan sebagai ahli atau kumpulan pengganas termasuk kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) dan waris Kesultanan Sulu.

“Abu Sayyaf Group dan salah seorang individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu juga tersenarai dalam senarai ini. Ia langkah konteks pencegahan, terutamanya menghentikan aliran kewangan kumpulan pengganas ini.

“Penyenaraian kedua-dua entiti ini membolehkan sebarang aktiviti kewangan disekat dan ini boleh menghalang entiti terbabit dari terus melakukan aktiviti keganasan termasuklah penculikan dan rompakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan keadaan keselamatan di kawasan pantai Timur Sabah selamat dan terkawal sejajar kewujudan ESSCOM yang dipertanggungjawabkan untuk mengekang gelombang kedua pencerobohan anasir asing yang menggelar diri mereka sebagai Royal Security Force (RSF).

“Ia juga bagi mengekang pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu dari Filipina, penyusupan militan antaranya ASG dan kumpulan yang mempunyai modus operandi penculikan bagi mendapatkan wang tebusan iaitu KFR.

“Dalam hubungan ini, antara inisiatif keselamatan utama dijalankan ESSCOM dalam kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah ialah Operasi SANGGAH. 

“Operasi itu dilaksanakan dengan mengkoordinasi dan memperkasa operasi sedia ada di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” katanya.

Beliau berkata, ESSCOM juga meningkatkan bilangan operasi tersendiri antaranya operasi bersepadu khas, operasi GASAK Laut dan Darat serta operasi pusat pemeriksaan darat.-BH Online