Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LIMA, Peru: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Peru membawa komitmen yang lebih kukuh dalam mempertingkat hubungan strategik antara Malaysia dan negara Amerika Latin itu, khususnya melalui sokongan Malaysia terhadap status Peru sebagai “Rakan Pembangunan ASEAN.” 

Langkah itu mencerminkan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh kerjasama rantau ASEAN-Pasifik menjelang 2025 apabila Malaysia bakal mempengerusikan ASEAN.

Dalam satu kenyataan bersama, Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra, menyampaikan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan itu dan menekankan komitmen Peru untuk terus meneroka kerjasama dalam bidang kepentingan bersama dengan negara anggota ASEAN. null

Kedua-dua pemimpin menegaskan pentingnya usaha memperkukuh hubungan ini menerusi Jawatankuasa Perkongsian Pembangunan ASEAN-Peru, yang membolehkan lebih banyak kerjasama dalam bidang perdagangan, keselamatan, serta pembangunan sosial.

Sebagai inisiatif ekonomi, kedua-dua negara telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor halal, pertanian, gastronomi, dan hospitaliti. 

Malaysia menawarkan bantuan kepada Peru dalam membangunkan ekosistem Halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia, dengan cadangan untuk menubuhkan Zon Ekonomi Halal khas di Pelabuhan Chancay yang dijangka menjadi pusat perhubungan logistik dan rantaian bekalan Halal bagi pasaran Amerika Latin.

Peru juga mengalu-alukan peranan strategik Pelabuhan Chancay sebagai hab pelbagai hala yang akan memperkukuh perdagangan dua hala. null

Dalam hal ini, Malaysia dijemput untuk turut serta dalam pembangunan Hab Logistik, Perindustrian dan Teknologi di Pantai Tengah Peru, yang bakal mana dilancarkan seiring dengan pembukaan pelabuhan baharu itu.

Dari sudut perdagangan, kedua-dua negara bersetuju mempercepat proses kemasukan produk baharu ke pasaran masing-masing serta menggalakkan pelaburan yang bertanggungjawab, mampan, dan inklusif. 

Hubungan dagangan Malaysia-Peru kini menunjukkan peningkatan yang ketara, melepasi paras pra-COVID-19 dan terus berkembang seiring dengan perjanjian perdagangan seperti Perkongsian Komprehensif dan Progresif bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Dalam aspek keselamatan, Malaysia dan Peru turut menyokong kerjasama agensi penguatkuasaan masing-masing dalam menangani jenayah rentas negara seperti pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, jenayah siber, dan pengedaran dadah haram. Langkah ini dilihat penting dalam memastikan keselamatan serantau yang lebih mapan.

Lawatan ini juga memperkukuh hubungan budaya dan pendidikan antara kedua-dua negara. 

Malaysia menawarkan dua biasiswa kepada pelajar Peru untuk melanjutkan pengajian di Malaysia pada tahun 2025 sebagai langkah menggalakkan pertukaran ilmu dan mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara. 

Malaysia juga berharap untuk menarik lebih ramai pelancong dari Peru sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Boluarte memuji kepemimpinan Malaysia yang bakal menerajui ASEAN pada tahun hadapan dengan harapan ia akan mempromosikan keterangkuman dan kelestarian yang seiring dengan Visi Komuniti ASEAN 2045. 

Malaysia pula menyatakan penghargaan kepada Peru atas peranannya dalam memimpin APEC 2024, yang mana berjaya memperkukuh kolaborasi dan dialog dalam kalangan ekonomi anggota.

Lawatan ini turut membawa pengiktirafan kepada Anwar yang dianugerahkan pingat kebesaran tertinggi Peru, “El Sol del Perú” dengan pangkat “Grand Cross.” 

Anwar menyatakan penghargaan atas sambutan mesra daripada kerajaan Peru dan menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan strategik dengan Peru serta memainkan peranan penting dalam menambahbaik kerjasama ASEAN-Pasifik.-BH Online