Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pimpinan tertinggi pentadbiran di sekolah supaya tidak menyembunyikan sebarang kes berkaitan buli yang berlaku dalam kalangan murid atau pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya ada menerima laporan sekolah yang menyembunyikan kes buli.

Susulan itu, beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap pimpinan tertinggi pentadbir sekolah yang bertindak melakukan perkara terbabit.

“Kita ada terima laporan (berkenaan pimpinan tertinggi menyembunyikan kes buli di sekolah) dan kita tidak melihat ia sebagai satu perkara yang perlu disembunyikan.

“Kita akan ambil tindakan tegas kepada pimpinan pentadbir sekolah yang bertindak menyembunyikan kes ini kerana kita tidak mahu pihak sekolah tidak mematuhi garis panduan kita.

“Garis panduan ini sudah pun kita tegaskan berulang kali dan mereka perlu mengikut semua proses itu supaya keadilan dan siasatan dapat dilaksanakan dengan telus. Maknanya, dari segi kepercayaan anak-anak (murid dan pelajar) kepada kita bahawa sekolah adalah tempat selamat.

“Itu yang penting supaya mereka dapat ke sekolah dengan selamat dan urusan psikososial, kesihatan mental mereka dapat kita tangani dengan segera khususnya apabila mereka terbabit dengan kejadian buli ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program Gerakan Kepimpinan Madani: Hentikan Buli bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Yuk Likas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) merangkap EXCO Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Datuk Tan Lee Fat.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM juga sebelum ini menyebarkan garis panduan berkaitan perkara terbabit di semua peringkat.

“Garis panduan ini kita sudah tegaskan berulang kali. Sebab itu saya tidak mahu mana-mana sekolah baik pengetua, guru besar atau guru membuat pendekatan menyorokkan kes-kes ini.

“Saya yakin bahawa bila kita ambil pendekatan menyelesaikan kes ini mengikut garis panduan dan juga prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada, kita akan dapat tangani kes ini dengan lebih berkesan.

“Ini khususnya dalam konteks membabitkan semua pihak termasuk ibu bapa, jawatankuasa dan juga muafakat kita,” katanya.

Mengulas mengenai program yang dianjurkan hari ini, beliau berkata, ia adalah inisiatif pihaknya yang memberi tumpuan kepada beberapa pendekatan dan penegasan lebih signifikan berkaitan buli.

“Pogram ini adalah program yang mana saya dan pimpinan utama KPM akan turun sendiri ke sekolah terpilih untuk kita melaksanakan advokasi berkaitan hentikan buli,” katanya.-BH Online