Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) penting untuk membantu meningkatkan kecekapan dalam sektor perundangan dan perkhidmatan undang-undang negara, namun tidaklah sampai menggantikan peranan peguam atau hakim.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut-PN) yang membangkitkan kebimbangan rakyat terhadap profesion seperti peguam yang mungkin diambil alih teknologi AI.

Memperincikan jawapannya, Azalina berkata sektor AI sangat besar dengan tidak semuanya akan diambil alih AI. null

“Banyak orang takut kemungkinan (AI) akan ganti (peranan manusia). Sebab itu saya sebut contohnya di negara lain, sektor ini sangat besar.

“Di Amerika Syarikat (AS) misalnya ia berperanan untuk pemantauan jenayah dengan melihat algoritma berapa banyak kes yang ada dan daripada situ mereka buat perkiraan. 

“Begitu juga di Astonia, mereka menggunakan ‘chat box’… di China pula (diwujudkan) mahkamah pintar berasaskan AI yang turut ambil kajian hakim.

“Saya tak nafikan kekhuatiran sama ada AI boleh gantikan, tapi saya yakin antara tanggungjawab kita dalam melahirkan sistem AI bagi bidang perundangan adalah tanggungjawab etika,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. null

Mengulas lanjut, Azalina berkata penggunaan AI masih terhad misalnya tertakluk kepada kes tertentu.

“Kemungkinan dari segi mesin, data dan maklumat, AI boleh buat bacaan dengan cepat, tetapi kes yang memakai keputusan hakim dari segi budi bicara, kita masih perlukan manusia. 

“Contohnya seperti hari ini, untuk tahun depan, tuntutan kecil dan (kes berkaitan) trafik, mungkin boleh pakai sistem (AI) tetapi (contohnya) bagi kes bankrap, untuk pelepasan, masih perlukan manusia. Ia tertakluk kepada berapa banyak data dan berapa pembayaran dibuat,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan penggunaan AI pada masa depan diperlukan atas dua faktor iaitu ia lebih cepat dan dapat mengurangkan daripada berlakunya kesilapan. 

Mengenai soalan berkaitan penggubalan Roadmap to My Digital Justice yang memberi penekanan kepada pemakaian AI bagi sektor perundangan, Azalina berkata ia akan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk memfokuskan kepada usaha mendekatkan rakyat dengan mahkamah. 

Beliau berkata, antara isu dalam akses kepada keadilan di negara ini adalah capaiannya membabitkan penduduk di luar bandar. 

“Masalah di negara kita hari ini adalah akses kepada keadilan. Mahkamah kita di peringkat seksyen, majistret dan daerah masih begitu jauh bagi masyarakat di luar bandar untuk sampai. 

“Inilah yang menjadi objektif kita (iaitu) untuk dekatkan rakyat dengan mahkamah. 

“Ia mungkin (boleh dilaksanakan) melalui sistem ‘mobile’ dan sebagainya,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi), Azalina berkata dalam menerima pakai AI, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan secara bersama sedang meneliti lebih mendalam melalui satu jawatankuasa bersama mengenai pemakaian AI bagi sektor perundangan. 

“Kita harap dapat mewujudkan prinsip penggunaan aplikasi ‘rule of law’ dalam akses kepada keadilan dengan jawatankuasa yang dibentuk ini akan melihat perkara ini dalam proses menggubal Roadmap to My Digital Justice,” katanya.-BH Online