KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyifatkan rasionalisasi subsidi dalam sektor kesihatan membabitkan kelompok 15 peratus teratas atau T15 boleh dilakukan secara efektif, dengan ada algoritma dan sifir bersesuaian.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata algoritma dan sifir khusus itu penting untuk menentukan dasar paling bersesuaian bagi golongan T15 mendapatkan rawatan di hospital awam.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembentukan dasar mampu menjadikan penyasaran subsidi dalam sektor kesihatan sangat bermakna kerana ia boleh membantu dalam menjana pendapatan kerajaan.
Ini kerana, katanya caj dikenakan di fasiliti KKM dianggarkan hanya 10 peratus daripada caj di pasaran.
“Sebagai contoh untuk pembedahan ‘caesarean’… kelas pertama di fasiliti KKM dikenakan caj RM1,200, manakala kelas kedua RM400 dan kelas ketiga adalah RM100.
“KKM sedang meneliti penyasaran subsidi kesihatan awam… mengenai T15, ia akan dilakukan dengan semangat disebut Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Penyasaran subsidi itu mampu dilakukan dan kita perlu ada satu algoritma dan sifirnya di mana kita dapat menentukan apakah sebenarnya (bentuk pelaksanaan).
“Pada akhirnya yang menjadi keutamaan KKM adalah penawaran rawatan yang adil dan saksama dari segi status pendapatan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata KKM sedia melakukan kajian lebih teliti mengenai jumlah T15 yang datang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM.
“Kita boleh mengenal pasti, ia tidak begitu sukar kerana kita ada pengarah hospital (yang boleh memberikan maklumat itu)… yang kita maksudkan adalah hospital negeri, atau hospital pusat rujukan,” katanya.
Mengenai pelaksanaan Rakan KKM di lima hospital terpilih, Dzulkefly berkata isyarat yang cuba dibawa ialah M40 dan T20 tidak mengambil tempat B40 ketika mendapatkan rawatan.
“Kalau 1,000 pergi ke fasiliti kita di KKM, 30 peratus boleh pergi ke rakan KKM atau fasiliti swasta dan ia meninggalkan ruang yang besar iaitu untuk B40.
“(Sejumlah) 30 peratus itu dapat diisi oleh B40 lain… kalau semua beratur ke fasiliti kita, ia akan menyebabkan kesesakan dan beban berlebihan,” katanya.
Beliau berkata, Rakan KKM bukan Kerjasama Awam Swasta (PPP) namun ia adalah kerjasama dengan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) membabitkan modal pemula sebanyak RM25 juta.
Katanya, Rakan KKM akan menarik lebih banyak pelaburan dan mengekalkan petugas kesihatan termasuk doktor pakar dan jururawat dalam sistem kesihatan.
“Inisiatif ini akan bermula dengan lima hospital KKM terpilih seperti Hospital Cyberjaya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata bermula 2025, KKM akan mewajibkan pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta bagi meningkatkan ketelusan harga.
Katanya, inisiatif ini akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Dengan cara ini, caj ubat-ubatan dalam tuntutan insurans boleh disemak supaya harga ubat tidak melebihi harga yang dipaparkan dan caj ubat-ubatan tidak sewenang-wenangnya dinaikkan,” katanya.-BH Online