Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yakin sasaran menyediakan 500,000 rumah mampu milik mampu diselesaikan pada penghujung pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata sehingga 30 September lalu sebanyak 89 peratus atau 443,259 unit rumah mampu milik sama ada siap dibina, sedang dalam pembinaan dan dalam perancangan di seluruh negara.

“Ketika ini sasaran penyediaan 500,000 RMM di bawah RMK12 kini hanya berbaki 56,741 unit rumah.

“Sekiranya berjaya dilaksanakan sepenuhnya, ini akan menjadi kali pertama sasaran pembangunan rumah mampu milik dicapai mengikut perancangan RMK,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Kor Ming berkata KPKT mempunyai perancangan komprehensif untuk membina loji pemprosesan sisa pepejal kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) menggunakan teknologi insinerator, bagi mengatasi isu kekurangan tapak pelupusan sanitari yang sesuai serta menangani peningkatan jumlah sisa yang dihasilkan setiap tahun.

Beliau berkata, loji berkenaan mampu menjana tenaga boleh baharu yang dieksport ke grid nasional untuk menggantikan tenaga elektrik yang dijana daripada bahan api fosil.

Kor Ming berkata, setiap 60 tan sisa pepejal yang dirawat menggunakan teknologi WTE mampu menjana satu megawatt (MW) tenaga elektrik yang boleh digunakan untuk 2,000 rumah.

Pada masa sama, beliau menjelaskan loji WTE adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan kerana ia dibina mengikut spesifikasi ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar, selaras dengan prinsip zero waste dan zero toxin, serta menyokong transformasi ke arah ekonomi kitaran dengan konsep loji dalam taman seperti yang dilaksanakan di negara maju.-BH Online