KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diarah menjalankan kajian terhadap permit diluluskan (AP) dan permit import (IP) membabitkan pengimportan bawang, daging dan kelapa ke negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kajian dilaksanakan atas arahan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu dijangka dapat dibentangkan sebelum akhir tahun ini.
“Pada masa ini, MyCC sedang giat menjalankan sesi libat urus bersama agensi kerajaan dan pemain industri berkaitan, dengan dapatan kajian akan dibentangkan kepada MTEN sebelum akhir tahun ini,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, Armizan berkata pindaan membabitkan dua akta iaitu Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, pada sesi akan datang selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Beliau berkata, pindaan akta itu penting bagi memperkasakan perundangan persaingan dan bagi mengenalkan rejim kawalan penggabungan bagi memastikan MyCC dapat membanteras pembentukan kartel atau mengawal selia pembentukan monopoli dalam pasaran.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata keputusan dasar di peringkat KPDN akan dilaksanakan dalam masa terdekat berkaitan penggubalan undang-undang Lemon Law sebelum ia diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Lemon Law ialah undang-undang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.
Beliau berkata, keputusan dasar itu akan memuktamadkan sama ada wujudnya keperluan untuk menggubal akta baharu iaitu Lemon Law atau menambah baik kerangka perundangan sedia ada.
“KPDN menjalankan kajian perundangan berkaitan Lemon Law bermula Jun hingga bulan ini dan dalam masa terdekat kita akan membuat keputusan dasar di peringkat kementerian,” katanya.
Walaupun kajian berkaitan Lemon Law masih berlangsung, beliau berkata KPDN sudah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan dua strategik interim iaitu menubuhkan pasukan rundingan khas berkaitan aduan kenderaan bermotor di KPDN.
Katanya, melalui penubuhan pasukan ini, ia menjadi pemudah cara yang akan menemukan pembeli dan pengedar bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit.
“Sejak Jun hingga September lalu, sebanyak 16 aduan diterima dan disiasat oleh pasukan ini,” katanya.
Beliau berkata, kaedah kedua ialah pengukuhan proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara Malaysia (BNM) antaranya membabitkan isu definisi Akta Sewa Beli 1967.
Berhubung menu Rahmah, Armizan berkata kerajaan akan membuat pemprofilan kawasan bersesuaian untuk ditawarkan kemudahan menu itu oleh peniaga, berbanding ia dibuat secara meluas di seluruh negara.
Beliau berkata, kerajaan akan mengusahakan untuk menawarkan menu Rahmah oleh peniaga di tempat tertentu sahaja, contohnya di kawasan yang diduduki pekerja kilang dan golongan B40 serta di perumahan kos rendah.
“Kita komited supaya program menu Rahmah diteruskan di kawasan berkenaan, mungkin tidak diperluaskan di seluruh negara tetapi masih wujud alternatif pelaksanaannya kepada golongan memerlukan.
“Kita juga mempertimbangkan untuk memberi akses kepada peniaga menu Rahmah melalui Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dengan membolehkan mereka membeli kuantiti barangan yang lebih supaya dapat menawarkan menu itu di kawasan secara bersasar,” katanya.-BH Online