Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa masyarakat antarabangsa mencapai konsensus bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam ucapan ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, hari ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa Israel telah melampaui batas kemanusiaan dengan tindakan kejam dan secara terang-terangan terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Beliau menyatakan bahawa tindakan keganasan rejim Zionis yang berterusan terhadap seluruh bangsa tersebut, memaksa komuniti antarabangsa untuk menuntut tindakan segera dan berkesan, termasuk embargo, penggantungan dan pengusiran dari PBB.
“Komuniti antarabangsa mesti bertindak segera dan tegas. Sebagai langkah segera, kita mesti mendesak, seperti yang dilakukan Malaysia di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada September lalu, untuk mengenakan embargo senjata segera terhadap Israel.
“Demi rakyat Palestin dan kemanusiaan secara keseluruhan, kita harus menghukum dan menghalang pencabulan berulang Israel terhadap undang-undang dan norma antarabangsa. Oleh itu, kita perlu membina kesepakatan untuk menggantung atau menyingkirkan Israel daripada PBB,” katanya.
Anwar berkata, Israel tidak lagi tergolong dalam masyarakat bertamadun negara dan kebiadabannya menuntut tindakan tegas untuk melindungi bukan sahaja Asia Barat tetapi global.
“Israel bagaimanapun telah melampuai batas, akal dan kemanusiaan itu sendiri dengan melakukan perbuatan keji.
“Keganasan ini menyebabkan kita tiada pilihan selain menuntut tindakan pantas dan berkesan masyarakat antarabangsa termasuk mengenakan sekatan, penggantungan dan penyingkiran,” katanya
Mengulas lanjut, Anwar turut menempelak tindakan Israel yang tidak henti-henti bukan saja menyerang Palestin bahkan menyasarkan negara lain di rantau itu.
Ia termasuk turut menyasarkan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan menghalang pertubuhan itu daripada beroperasi membantu mangsa.
Justeru, Perdana Menteri menyifatkan Israel punca yang menyebabkan keruntuhan tindak balas kemanusiaan dunia.
“Kita mesti menamatkan pembunuhan beramai-ramai yang tidak masuk akal ini dan mengambil langkah segera untuk memberi perlidnungan yang lebih berkesan kepada UNRWA.
“Begitu juga, kita mesti memberi perlindungan lebih baik untuk pasukan pengaman PBB di Lubnan, yang terdiri daripada hampir 50 negara termasuk Malaysia yang mana turut menjadi sasaran serangan ganas oleh tentera Israel.
“Kekejaman Israel sudah merebak ke Lubnan, Yaman, Syria, Iraq dan Iran. Jika dunia berpaling sekarang, keganasan ini tidak akan sesekali dibendung. Ia akan terus menyalakan api yang mengancam menelan seluruh rantau ini dan seluruh dunia.
“Kebimbangan kami adalah mangsa. Oleh itu, adalah penting untuk kita menggandakan usaha semasa untuk membantu membina semula Gaza daripada dimusnahkan,” tegasnya.-BH Online