IPOH: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan, tindakan menggantung Perlembagaan dan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), tiada kaitan dengan perbezaan ideologi politik di antara eksekutif dan jemaah pengarah pertubuhan itu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengakui wujud spekulasi cuba dimainkan yang memberi gambaran seolah-olah Parti AMANAH di bawah pimpinannya mengambil alih NAFAS dan membuang wakil UMNO daripada pertubuhan itu.
Sebelum tindakan diambil terhadap NAFAS, beliau sendiri berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO, bagi menjelaskan bahawa langkah itu tiada kaitan dengan agenda politik.
Katanya, penjelasan itu kemudiannya disokong penuh oleh Ahmad Zahid yang mahukan supaya manfaat menerusi NAFAS tidak hanya pergi kepada beberapa individu tertentu sahaja, sebaliknya kepada rakyat.
“Sebelum saya hendak bertindak dalam NAFAS, saya berjumpa dahulu dengan Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid). Saya tahu isu serta spekulasi yang akan dimainkan adalah AMANAH akan mengambil alih NAFAS dan membuang UMNO.
“Saya jumpa Datuk Seri Zahid, saya kata yang NAFAS, kita akan bertindak ini tiada kena mengena dengan politik. Dia kata, ‘Bang Mat (panggilan Ahmad Zahid kepada Mohamad), saya sokong penuh’. Dia pula yang menamakan orang pemimpin atas yang tak guna itu.
“Dia (Ahmad Zahid) yang namakan sendiri… “Bang Mat, kalau bertindak, buang orang ini, buang orang ini. Ertinya, Presiden UMNO tahu apa yang berlaku dalam NAFAS,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen AMANAH Negeri Perak di Pusat konvensyen Casuarina di sini, hari ini.
Hadir sama ke konvensyen itu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Muhajid Yusof; Pengerusi AMANAH perak, Datuk Asmuni Awi, dan Setiausaha UMNO Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.
Dalam sidang media selepas itu, Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata, beliau bagaimanapun enggan menunding jari kepada mana-mana pihak termasuk terhadap pentadbiran kerajaan terdahulu mengenai isu yang membelenggu NAFAS yang turut memberi tamparan kepada kerajaan MADANI ketika ini.
“Saya tidak mahu ‘blame’ (persalahkan) mana-mana kerajaan terdahulu dan sebagainya… NAFAS sudah digantungi ni kali yang ketiga. Kali pertama Lembaga Pengarahnya digantung adalah ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Pertanian.
“Kali yang kedua (penggantungan) berlaku di zaman (Allahyarham) Datuk Seri Salahuddin Ayub (sebagai Menteri Pertanian). Yang kali ini adalah ketiga, dan yang ketiga ini ianya panjang serta komprehensif, dan kita akan sekali gus dengan membuat struktur baru dalam NAFAS,” katanya.
Mengenai pelantikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman sebagai Pengerusi Majlis Penasihat NAFAS yang baharu, Mohamad berkata, kebebasan diberikan kepada Zainal Rahim yang dianggap sebagai professional dan dipilih berasaskan integriti untuk reformasi NAFAS.
“Tan Sri (Zainal Rahim) sudah memulakan tugasnya dan kita beri kekebasan kepadanya memandangkan dia seorang yang profesional dan kita memilihnya berdasarkan integriti semasa dia menjadi pegawai (kerajaan) dahulu. Tan Sri juga sanggup memikul tanggungjawab untuk melihat tatakelola dalam NAFAS.
“Saya nampak bila keadaan dapat diperbetulkan, kita akan bergantung kepada reformasi yang berlaku dalam NAFAS. Bila ianya selesai kita akan berbalik semula dengan pindaan-pindaan baharu yang akan kita kemukakan dalam hal tatacara NAFAS itu sendiri.
“SPRM baharu boleh ‘masuk’ NAFAS pada Mei lalu dengan keputusan meletakkan NAFAS di bawah agensi kerajaan kerana sebelum itu tidak. Sekarang Kalau ada apa-apa, maka boleh buat laporan kepada SPRM, (sebab) kita terbuka dan bebas,” katanya.-BH Online -BH Online