ALOR GAJAH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana tidak mendapatkan maklumat sebenar penjualan bangunan komersial Semarak20 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dikendalikan FELCRA Berhad (FELCRA).
Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idris Lasim, memberi penjelasan secara tuntas kepada PAC berhubung isu itu.
“Saya minta Pengerusi FELCRA dan CEO FELCRA memberi penjelasan kepada PAC supaya PAC jangan ‘tangkap muat’ sahaja maklumat yang diperoleh.
“FELCRA membuat pinjaman untuk mendirikan kompleks berkenaan dan jika tidak dibayar (ansuran) maka ia akan membabitkan bebanan kewangan kepada agensi itu.
“Jualan itu pun akan mengikut harga pasaran dan mungkin dibuat secara tender terbuka supaya memastikan `the highest bidder’ (bidaan tertinggi) mampu membeli seluruh kompleks berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dengan EXCO Luar Bandar (MEXCLUB) 2024 di sini, hari ini.
Pada majlis itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan Watikah Pegawai Kehormat Angkatan Pertahanan Awam (APM) kepada semua EXCO Luar Bandar.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.
PAC dalam laporan semalam, menyatakan kebimbangan terhadap prestasi penjualan bangunan komersial Semarak20 di Jalan Semarak di ibu negara yang dikendalikan FELCRA.
PAC dalam Laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan serta KKDW bagi syor laporan PAC Parlimen berhubung FELCRA semalam, menjelaskan penjualan unit Semarak20 yang dinyatakan FELCRA masih berstatus belum dijual dan cadangan itu hanya di peringkat perbincangan bersama pihak pembeli ketika ini.
Difahamkan, ada beberapa syarikat berpotensi dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu menunjukkan minat membeli Semarak20 melalui kaedah en-bloc.
Empat syarikat secara rasmi sudah menyatakan minat untuk pembelian secara en-bloc dengan mengemukakan surat hasrat, namun FELCRA Properties Sdn Bhd (FPSB) masih menunggu pihak berkenaan membuat tawaran harga untuk tindakan selanjutnya.
Susulan itu, PAC yang dipengerusikan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mengingatkan FELCRA mengenai kepentingan penjualan projek komersial itu dalam kadar segera.-BH Online