Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Sebanyak RM571.5 juta penalti kewangan dikenakan terhadap 107 syarikat kerana terbabit dalam kartel, manakala dua lagi syarikat monopoli yang menyalahgunakan kedudukan mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah itu direkodkan hasil daripada penguatkuasaan amalan antipersaingan dilaksanakan kementeriannya menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sepanjang tempoh sembilan tahun lalu.

Katanya, pada 2015, MyCC menumpaskan kartel pengeluaran ais yang terdiri daripada 24 pemain di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang didapati menetapkan harga produk ais dan mengenakan penalti RM252,250.

“Pada tahun sama, MyCC juga menumpaskan kartel pengeluar roti dan manisan di Sibu yang terdiri daripada 14 syarikat kerana menetapkan harga produk itu dan jumlah penalti dikenakan ialah RM247,730.

“Selain itu, MyCC juga menumpaskan kartel yang terdiri daripada lima syarikat yang menjalankan perkhidmatan feri di antara Kuala Perlis dan Langkawi pada 2021. 

“Perkhidmatan ini membolehkan pengangkutan produk termasuk bahan makanan dihantar ke Langkawi. Mereka dikenakan penalti kewangan sebanyak RM2.19 juta.

“Pada Disember 2023 pula, MyCC mengenakan penalti kewangan RM415.5 juta terhadap lima pengeluar makanan ayam kerana terbabit dalam kartel penetapan kuantum kenaikan harga makanan ayam,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia.

Beliau menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai usaha diambil KPDN bagi menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan bagi menggalakkan persaingan dan membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau (profiteering).-Harian Metro Online