KUALA LUMPUR: Pengeluar simen di Malaysia melabur lebih daripada RM200 juta dalam sistem kawalan pencemaran udara sebagai langkah untuk mengurangkan pelepasan dan meningkatkan hasil alam sekitar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata industri simen disaran mempertimbangkan teknologi rendah karbon seperti penyingkiran karbon dioksida dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Penggabungan CCUS dalam pengeluaran simen adalah penting untuk mengurangkan jejak karbon industri, memenuhi komitmen iklim dan mempersiapkan syarikat untuk masa depan rendah karbon serta mematuhi langkah-langkah antarabangsa.
“Peranan faktor penyokong lain seperti inisiatif harga karbon dapat mewujudkan insentif ekonomi bagi syarikat mengadaptasi teknologi CCUS dan menurunkan kos pelaksanaannya dari masa ke masa,” katanya pada perasmian Pameran dan Simposium Teknikal Persekutuan Pengeluar Simen ASEAN (AFCM) di sini, hari ini.
Nik Nazmi berkata, dengan mengadaptasi prinsip ekonomi kitaran seperti menukar aliran sisa sebagai bahan mentah dan bahan api alternatif, industri itu mengalihkan hampir tiga juta tan sisa daripada tapak pelupusan sampah setiap tahun, mewujudkan kitaran pengeluaran yang lebih mampan.
Katanya, produk simen dan konkrit mesra alam juga semakin mendapat sambutan, mengurangkan jejak karbon industri dan menyokong matlamat kelestarian serantau.
“Komitmen bersama terhadap proses pengurangan karbon dalam industri simen adalah satu perjalanan yang berterusan. Kita mesti terus memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan dan pihak berkepentingan industri untuk seiring dengan sasaran iklim negara dan serantau.
“Melalui perkongsian ini, negara boleh membina masa depan yang bukan sahaja memenuhi sasaran pelepasan sifar bersih, tetapi turut memastikan daya tahan dan pertumbuhan industri simen,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga komited terhadap penyahkarbonan serta sedang bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di peringkat domestik dan antarabangsa untuk mempromosikan penyahkarbonan industri yang akan turut menyumbang kepada pencapaian matlamat Perjanjian Paris dan pelepasan gas rumah kaca sifar bersih global menjelang 2050.
“Malaysia sedang mencapai kemajuan ke arah matlamat ini, disokong oleh inisiatif dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini. Salah satu sorotan utamanya adalah pelaksanaan cukai karbon ke atas industri tenaga, besi dan keluli menjelang 2026,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan memperkukuh rantai nilai serantau dan kerjasama kawal selia untuk mendalami hubungan perdagangan dan pelaburan dalam ASEAN.
“Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan pasaran tunggal dan asas pengeluaran bagi meningkatkan daya saing serantau dengan mengurangkan tarif ke atas barangan, termasuk simen serta mewujudkan pasaran yang kukuh dan bersepadu bagi produk simen di seluruh ASEAN.
“Selain itu, aliran bebas barangan, perkhidmatan, pelaburan dan tenaga kerja mahir telah membolehkan industri simen mengoptimumkan rangkaian pengeluaran serta pengedaran di seluruh ASEAN, memperkukuh skala dan daya saing ekonomi ,” katanya.-BH Online