Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Akta Sewaan Kediaman (RTA) yang sedang digubal kerajaan, akan menangani isu berkaitan diskriminasi mana-mana kaum dan agama dalam urusan penyewaan kediamaan di negara ini.

Berdasarkan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, Rang Undang-Undang (RUU) RTA yang digubal turut mendukung prinsip perundangan yang bersifat neutral tanpa mendiskriminasi mana-mana kaum dan agama.

Mengenai perkembangan RUU RTA, beliau berkata, KPKT dalam usaha menambah baik draf peraturan itu dengan mengatur sesi libat urus bersama kerajaan negeri serta pihak berkepentingan bermula bulan ini dan dijangka selesai pada suku pertama tahun depan. 

“Maklum balas dan pandangan yang diterima hasil sesi libat urus ini akan menjadi proses dalam menambah baik draf RUU sebelum dimuktamadkan.

“Ini bertujuan bagi memastikan kepentingan semua pihak terpelihara dan RUU RTA ini tidak bercanggah dengan mana-mana perundangan dan peraturan sedia ada.

“Namun, sebarang penyediaan program perumahan serta penggubalan undang-undang dan peraturan berkaitan perumahan, adalah bersifat neutral dan tidak meminggirkan atau mendiskriminasi rakyat mana-mana bangsa atau agama,” katanya melalui jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mahu tahu sama ada pihak kementerian mempunyai garis masa dalam menggubal RTA bagi menjamin hak pemilik kediaman dan penyewa sentiasa terpelihara di negara ini.

Aminolhuda juga ingin tahu penyelesaian KPKT bagi isu diskriminasi kaum dan agama dalam sewaan kediaman.

Pada masa sama, menurut Kor Ming, sebarang aktiviti sewaan kediaman yang dilaksanakan adalah tertakluk kepada

persetujuan pihak terbabit dan RUU RTA turut menyediakan mekanisme penyelesaian sekiranya wujud sebarang pertikaian dalam aktiviti sewaan kediaman kelak.

Beliau berkata, KPKT berpandangan penggubalan RUU RTA ini akan mampu merancakkan sektor sewaan supaya lebih kompetitif dan memudah cara industri sewaan kediaman dengan tadbir urus yang lebih baik tanpa menjejaskan hak dan kepentingan pihak yang terbabit. 

“Kerajaan juga akan terus berusaha bagi memastikan hak setiap rakyat khususnya akses terhadap perumahan terpelihara terutama melalui mekanisme perundangan yang holistik dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk diskriminasi,” katanya.

Menurut Kor Ming, proses penggubalan RUU RTA mengambil sedikit masa selepas KPKT mendapati wujud keperluan untuk meneliti semula keseluruhan aspek peraturan itu serta menyusun semula tindakan susulan bagi proses penggubalan. 

Beliau berkata, ia termasuk keperluan pelaksanaan libat urus khusus dengan semua kerajaan negeri serta pihak berkepentingan terutamanya yang terbabit dalam pelaksanaan RUU RTA ini kelak.-BH Online