Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Melaka: Kerajaan negeri mahu semua pemilik premis khususnya dapur atau restoran hotel mengambil peluang dengan memohon pensijilan halal untuk meningkatkan lagi kedudukan Melaka sebagai hab halal antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata langkah itu sejajar dengan pengurniaan ‘Halal State Performance Excellence Award’ daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 29 Oktober lalu.

Menurutnya, pengiktirafan terbabit jelas membuktikan Melaka sebagai negeri yang menjulang hab halal terbaik dan perlu dicontohi semua.

“Setakat ini, kita sudah berjaya merekodkan lebih 300 syarikat dan produk halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jauh lebih tinggi berbanding hanya puluhan syarikat perniagaan halal pada awal dekad lalu.

“Alhamdulillah, tahun ini bertambah lagi permohonan itu apabila Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebagai agensi yang menguruskan permohonan pensijilan halal di Melaka sudah menerima lebih 400 permohonan,” katanya ketika berucap merasmikan Pra Pelancaran Melaka International Halal Festival 2024 (MIHF’24) di sini semalam.

Yang turut hadir, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, MIHF’24 anjuran MAIM Holdings Berhad adalah julung kali diadakan di negeri ini bertujuan untuk menambahkan lagi keyakinan pelancong khususnya dalam aspek ‘Halalan Tayyiba’ atau halal lagi baik.

Sementara itu, Shaifulfazlee berkata, MIHF’ 24 bertemakan ‘Mengoptimum Industri Halal’ akan berlangsung selama tiga hari bermula 20 Disember ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Katanya, program itu dilihat dapat memupuk pertumbuhan mampan dalam industri halal global.

“Festival ini menawarkan peluang kepada 450 pempamer daripada 10 negara termasuk Bangladesh, Vietnam, Filipina dan Namibia untuk menampilkan produk halal meliputi sektor makanan dan minuman, kosmetik, kesihatan hingga pelancongan.

“Kami menyasarkan 10,000 pengunjung meliputi negara serantau seperti Singapura dan Indonesia selain beberapa negara Timur Tengah untuk mengukuhkan peranan Malaysia khususnya Melaka sebagai hab halal antarabangsa,” katanya.-Harian Mtero Online