Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah menyediakan satu draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang antara lain mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang, hukum dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini, berkata draf resolusi itu sedang dalam proses rundingan dan dijangka dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB untuk kelulusan dalam masa terdekat.

“Pada 31 Oktober lalu, Malaysia menyertai Kumpulan Teras (Core Group) bagi penyediaan satu draf resolusi Perhimpunan Agung PBB memohon Pendapat Nasihat (Advisory Opinion) Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai obligasi Israel dalam membenarkan aktiviti dan kehadiran PBB.

“Ia juga termasuk agensi-agensi di bawah PBB, organisasi-organisasi antarabangsa dan negara ketiga di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT), yang dilaksanakan dengan persetujuan kerajaan Palestin untuk manfaat orang awam Palestin di wilayah itu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, apabila diluluskan kelak, resolusi itu dijangka menjadi landasan perundangan bagi membolehkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) terus memberikan khidmat mereka.

“UNRWA kini memberikan khimat asas seperti pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, yang telah memberikan faedah kepada lebih enam juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria. 

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, pihaknya akan berunding dengan Presiden, Abdel Fattah al-Sisi, sehari sebelum berlangsungnya sidang kemuncak untuk membincangkan mengenai perkembangan berhubung UNRWA.

“Saya mengucapkan terima kasih kerana Mesir memberi laluan khas kepada bantuan kemanusiaan Malaysia kepada Rafah tetapi sekarang dihalang Israel.

“Setakat ini kita tidak menghadapi masalah dengan kerajaan Mesir atas kerjasama Presiden tetapi hal ini harus dijadikan strategi terutama dengan negara Arab berjiran kerana ini menentukan sama ada bantuan itu lebih berkesan atau tidak,” katanya.

Malaysia sudah menyumbang bantuan kewangan tambahan berjumlah ASD 5.2 juta (RM22.71 juta) kepada UNRWA untuk meringankan beban dan membantu mangsa kekejaman Israel sejak Oktober 2023.

Sehingga Jumaat lalu, konflik di Gaza mengorbankan 43,204 orang rakyat Palestin, termasuk 16,500 kanak-kanak, dan 1,200 rakyat Israel. 101,641 orang rakyat Palestin dilaporkan cedera, manakala 11,000 orang lagi dilaporkan hilang. 

Secara purata 118 rakyat Palestin terkorban dan 277 lagi cedera setiap hari sejak Oktober 2023.

“Situasi di Gaza malangnya terus meruncing dan seperti mana saya tegaskan kerana keganasan itu tanpa henti with impunity, dengan izin, dan dengan dukungan langsung dan tidak langsung dari negara-negara sekutu Israel,” katanya.-BH Online