KUCHING: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi fokus untuk melaksanakan 24 projek di Sarawak yang tertangguh sejak 2016 hingga 2022.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua projek itu bernilai RM1.4 bilion dengan ada yang mencecah lebih RM300 juta.
Katanya, ia membabitkan projek infrastruktur luar bandar, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar, jalan perhubungan desa serta projek di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, memberi jaminan semua projek tertangguh itu akan mula dilaksanakan sebelum bermulanya Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada 2026.
“Tidak ada maknanya kita melaksanakan projek baharu jika projek lama tidak dijalankan atau dimulakan.
“Ada 24 projek tertangguh (di Sarawak), jumlah itu agak besar dan kita memberikan itu sebagai keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat Pelaksanaan Projek Pembangunan Sarawak di sini, hari ini.
Hadir sama, dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Ahmad Zahid berkata, sebagai langkah awal untuk memulakan projek tertangguh itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi memutuskan beberapa perkara dengan beberapa kementerian dan agensi Persekutuan.
“Mesyuarat berkaitan akan diadakan dua minggu dari sekarang dan antara perkara utama yang akan dibincang ialah kos projek serta kos material binaan berikutan projek sudah tertangguh agak lama.
“Projek Jiwa Murni menaik taraf jalan bekas jalan balak dengan kos RM85 juta antara yang tertangguh dan perlu diselesaikan bagi menyediakan jalan kepada masyarakat pedalaman,” katanya.
Selain itu, katanya, mana-mana aspek berkaitan kerajaan negeri seperti pengambilan tanah perlu diselesaikan segera.
“Kerajaan Sarawak ada komitmen yang kuat untuk menyelesaikan perkara itu dan ada agensi kerajaan negeri yang mempunyai dana awalan untuk mendahulukan pengambilan tanah,” katanya.-BH Online