Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November ini atas jemputan rakan sejawatnya, Li Qiang, bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIIE) ketujuh di Shanghai.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini menyebut, Malaysia diberi penghormatan sebagai ‘Country of Honour’ di CIIE tahun ini.

Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

“Semasa di Shanghai, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Li Qiang bagi berbincang hubungan dua hala susulan perjumpaan mereka di Putrajaya pada 19 Jun lalu.

“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” kata kenyataan itu.

CIIE adalah inisiatif kerajaan China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang terbabit dalam Inisiatif Jalur dan Laluan bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.

Kementerian turut memaklumkan, Anwar akan menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan CIIE dan merasmikan Astaka Malaysia serta Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

Beliau juga akan mengadakan perjumpaan bersama syarikat perniagaan dan mengadakan sesi meja bulat dengan kapten industri dari China.


Perdana Menteri juga akan melawat Beijing selama dua hari bermula 6 November, yang mana beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping

Beliau juga akan menyampaikan syarahan terbuka bertajuk ‘Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order’ di Universiti Peking dan melawat Huawei Executive Briefing Centre.

“Lawatan ini dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang kukuh sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tahun ini,” kata kementerian itu.

Selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China adalah rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar.

Pada 2023, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia.

Sehingga September lalu, Malaysia mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM355.15 bilion (AS$76.72 bilion).

Pada separuh tahun pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan dilaksanakan dengan jumlah pelaburan RM1.2 bilion (AS$ 252.5 juta). –BERNAMA