Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING,– Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk meneruskan Program Advokasi Anti Gangguan Seksual kepada lebih 10,000 sekolah seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia berikutan masih berlaku kes gangguan seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Jelas beliau, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak meningkat 26.5 peratus tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Beliau percaya kemungkinan banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.

“Mereka menggunakan pelbagai cara. Khususnya, dengan kepesatan teknologi. Maka, yang kita dapat itu hanya mereka yang melaporkan. Awak tidak akan tahu, ia mungkin lebih tinggi daripada itu,” kata Nancy kepada pemberita, semalam.

Beliau ditemui selepas Majlis Serahan Tajaan Rakan Strategik Yayasan Kebajikan Negara Malaysia Bagi Anjung Kasih dan Bilik Kasih Wanita di Hospital Umum Sarawak, di sini.

Selain advokasi, kementeriannya juga sedang menyediakan Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menangani pelbagai isu setempat termasuk gangguan seksual.-Berita RTM