Kuching: Undang-undang berkaitan jenayah rogol sukar dilaksanakan terhadap lelaki yang berkahwin mengikut adat perkahwinan tradisional dengan pasangan bawah umur.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata dua faktor menyebabkan mengapa sukar untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap isu itu.
Beliau berkata, faktor pertama ialah kebanyakan negeri, kecuali Selangor dan Kedah, membenarkan remaja perempuan seawal usia 16 tahun berkahwin secara sah melalui perkahwinan adat.
“Faktor kedua pula agak sukar untuk mencampuri tradisi dan amalan adat sesuatu kumpulan etnik dalam setiap negeri.
“Kebanyakan negeri termasuk Sarawak tidak mengubah undang-undang berkaitan perkahwinan mengikut adat membabitkan remaja perempuan bawah umur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan tajaan kepada Anjung Kasih dan Bilik Kasih Wanita di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini hari ini.
Nancy diminta mengulas laporan sebuah pertubuhan masyarakat di Sarawak yang memberi amaran kepada lelaki yang berkahwin dengan perempuan bawah umur 18 tahun.
Ini kerana kata pertubuhan terbabit, Persatuan Hak Orang Asal Sarawak (SCRIPS) mereka boleh didakwa atas kesalahan merogol mengikut undang-undang sivil.-Harian Metro Online