Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUTTERWORTH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kerajaan negeri memberi perhatian dengan menaik taraf infrastruktur termasuk mencantikkan gerai makanan dan warung bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.

Perdana Menteri berkata, ia susulan kira-kira 80 peratus rakyat di negara ini didapati memilih makan di premis berkenaan yang menawarkan harga lebih berpatutan.

Katanya, perkara itu dikesan apabila beliau sendiri turun ke warung dan gerai makanan sebelum menunaikan solat Jumaat termasuk ketika mengadakan lawatan kerja di negeri Semenanjung.

” Lihat (daripada) pengalaman saya setiap Jumaat (sebelum solat), saya akan pergi ke gerai, warung atau restoran kecil untuk makan dulu.

“Saya dapati lebih banyak rakyat makan di situ (gerai, warung dan restoran kecil) ketimbang (berbanding) restoran besar.

“Restoran lima bintang itu ada, tetapi ia bagi siapa yang ada duit (kemampuan). Jadi, (warung dan gerai) kena beri perhatian sebab ada saja aduan yang saya dapat daripada peniaga memaklumkan bumbung bocor, lantai tak bagus dan sebagainya,” katanya berucap pada Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Anwar mengumumkan peruntukan khas RM250,000 bagi penganjuran program berkenaan.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Peruntukan itu termasuk bagi menyediakan ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa Sabah dan Sarawak, dan menaik taraf kemudahan perniagaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sebelum ini sudah meminta DBKL menitikberatkan kebersihan dan mengambil langkah mencantikkan warung serta gerai berbanding membina bangunan mercu tanda yang hebat.

“Saya juga sudah cadangkan kepada semua kerajaan negeri, pembangunan di kota seperti gedung besar atau hotel, biarlah swasta yang buat.

“Jadi, kerajaan kena tumpu pembinaan gedung kecil seperti warung dan gerai. Tak malukah kita apabila pergi ke warung yang seperti nak roboh, lampu tidak menyala, tandas kotor dan busuk,” katanya.

Perdana Menteri berkata, langkah membaik pulih infrastruktur itu penting bukan saja untuk keselesaan pengunjung, tetapi juga membantu peniaga dan penjaja kecil memajukan perniagaan mereka.

“Bila warung dan gerai bersih baru terkenal (dikenali pengunjung dan pelancong) yang ini boleh bantu penjaja dan peniaga kecil.

“Jadi, gesaan saya semua yang di atas perlu turun ke bawah dan bantu dengan lihat apa keperluan diperlukan,” katanya.-BH Online