SHAH ALAM,– Selangor kini berada dalam fasa bersiap siaga berdepan sebarang situasi bencana atau kecemasan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa beliau mahu semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor turut bersedia dalam negara, terutama menjelang Disember nanti.
Arahan itu bagi memantau keadaan serta tindakan segera dapat dibuat, jika banjir melanda.
Tambahnya, mengambil kira pengalaman banjir sebelum ini, kerajaan negeri Selangor bertekad memastikan langkah-langkah susulan dan bantuan kecemasan dapat dilaksanakan segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
“Mesyuarat MKN lepas, kita telah putuskan untuk pantau dan kita harap semua Exco dapat berada dalam negara terutama pada bulan 12.
Kemungkinan banjir boleh berulang dan kita boleh ambil langkah-langkah susulan kalau berlaku kejadian tersebut,” kata Amirudin kepada pemberita semalam.
Beliau ditemui selepas mengadakan ziarah Rahmah Deepavali di Sri Muda, Shah Alam.
Sementara itu, beliau juga berkesempatan bertemu kembali dengan anak kecil yang diselamatkan beliau dalam insiden banjir besar pada Disember 2021.
Beliau turut menyampaikan mesej perpaduan dan dalam masa menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan setiap lapisan masyarakat.
“Hari ini saya dapat jumpa Kiyesh iaitu anak kecil yang saya selamatkan semasa kejadian banjir pada Disember 2021.
Jadi, Deepavali ini saya ziarah sebagai tanda bahawa kita akan jaga semua masyarakat. Untuk kita meraikan perayaan bersama, mencipta kenangan bersama keluarga,” tambah Amirudin.-Berita RTM