Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia menyampaikan ucapan penghargaan kepada negara ASEAN Campur Tiga (APT) atas komitmen dan sokongan dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan serantau serta pelaksanaan program pembangunan kapasiti yang dimanfaatkan 10 negara anggota ASEAN (AMS).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) Campur Tiga kali ke-24 yang diadakan secara dalam talian pada 25 Oktober lalu.

Arthur berkata, Malaysia turut menekankan kepentingan memupuk hubungan yang rapat dalam kalangan komuniti ASEAN, khususnya berkaitan keterjaminan makanan dan bantuan kecemasan semasa krisis.

“Malaysia turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong aktiviti Rizab Kecemasan Beras ASEAN Campur Tiga (APTERR) bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan ASEAN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arthur yang mengetuai delegasi negara ke AMAF ke-24 anjuran Myanmar itu berkata, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai sumbangan beras sebanyak 11,620 tan sepanjang tahun ini oleh negara APTERR.

“Sumbangan ini membolehkan AMS menangani situasi kecemasan ketika berhadapan dengan bencana alam, mengukuhkan keterjaminan makanan dan memberi bantuan kemanusiaan yang berkaitan di rantau ASEAN,” katanya.

Selain itu, Arthur berkata, AMAF mengambil maklum status kemajuan pelaksanaan Strategi Kerjasama ASEAN Campur Tiga (APTCS) bagi tempoh 2016 hingga 2025.

Katanya, APTCS menumpukan kepada usaha dan advokasi berteraskan amalan pertanian mampan, antaranya aktiviti untuk mengurangkan penggunaan racun kimia berbahaya, meningkatkan kawalan ke atas penyakit merentasi sempadan serta kecekapan pengurusan air dan hutan.

Beliau berkata, AMAF ke-24 menyediakan platform untuk memperkukuh kerjasama ASEAN dengan negara APT dalam bidang pertanian dan perhutanan, khususnya usaha meningkatkan kecekapan pengeluaran dan rantaian bekalan makanan serta membangunkan kepakaran dan kapasiti modal insan serantau.

Bagaimanapun, jelasnya, penyertaan negara dalam mesyuarat itu tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan Malaysia kepada rejim tentera Myanmar sebagai kerajaan Myanmar yang sah.

AMAF ke-24 membabitkan penyertaan 10 negara anggota ASEAN bersama negara APT iaitu China, Jepun dan Republik Korea, serta turut dihadiri Timor-Leste selaku pemerhati serta wakil Setiausaha Agung ASEAN. – BERNAMA