Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tindakan Israel meluluskan Rang Undang-undang (RUU) bagi menyekat operasi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA) adalah untuk menafikan hak rakyat Palestin pulang ke tanah air.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faisal Mohd Perdaus berkata dendam Israel terhadap badan dunia itu telah lama membuak kerana keberadaan pertubuhan itu mengesahkan kekejaman yang menimpa penduduk Palestin.

“Ini memang agenda mereka dari awal. Ini adalah kerana, dengan adanya UNRWA maka sah ada krisisi Palestin.

“Kedua, dengan adanya UNRWA, ada pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diimplementasi di lapangan.

“Kalau tidak resolusi PBB oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC) atau Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ini hanyalah sekadar deklarasi di New York sahaja.

“Tetapi dengan adanya UNRWA boleh nampak PBB bergerak untuk Palestin di lapangan. Ini sangat besar maknanya.

“UNRWA juga memberi pengiktirafan kepada hak rakyat Palestin untuk kembali ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Israel haramkan UNRWA untuk nafikan hak rakyat Palestin pulang ke tanah air – MERCY Malaysia

Pada Isnin, Israel meluluskan RUU mengharamkan operasi UNRWA di Baitulmaqdis Timur yang diduduki serta menarik balik keistimewaan dan kekebalan agensi itu.

Undian itu menyaksikan 92 daripada 120 anggota Knesset menyokong larangan itu, manakala 10 menentang.

Dalam pada itu, satu RUU berasingan yang diluluskan dengan 87 undi menyokong dan sembilan menentang, mewajibkan Israel untuk memutuskan semua hubungan dengan UNRWA, menghalang sebarang kerjasama atau keistimewaan yang sebelum ini diberikan kepada agensi itu.

Undang-undang berkenaan akan berkuat kuasa dalam tempoh 90 hari, menurut Agensi Anadolu.