Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR) bermula tahun depan, akan menjadikan kualiti perumahan rakyat negara ini setanding kemudahan sama di Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata Jemaah Menteri pada 3 September lalu bersetuju supaya PPR dijenamakan semula kepada PRR.

Menurutnya, PRR menggambarkan aspirasi dan penekanan kerajaan ke atas konsep kediaman yang bersifat bersepadu, kondusif dan berdaya huni dengan kualiti komersial.

Katanya, ia turut dilengkapi pusat aktiviti masyarakat, zon hijau dan kemudahan berkaitan supaya dapat meningkatkan rasa kekitaan dalam kalangan penghuninya.

“Penjenamaan PRR ini juga diharap mampu membantu mengurangkan stigma dan persepsi negatif masyarakat ke atas komuniti PPR sedia ada serta meningkatkan imej program perumahan di bawah kementerian ini.

“Lokasi pembinaan PRR akan dikenal pasti di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar dengan menitikberatkan aspek kesalinghubungan, kebolehcapaian, mampan, berdaya huni dan pergerakan dengan kemudahan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Kelulusan Kebenaran Merancang PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya, Tanjong Karang, di sini hari ini. 

Kor Ming berkata, PRR di kawasan bandar akan dikekalkan sebagai aset kerajaan untuk disewa disebabkan faktor lokasi yang terhad, nilai tanah yang mahal serta memudahkan pembangunan semula.

“Perumahan di kawasan bandar hanya dijadikan transit tanpa peserta kekal selamanya, manakala pembangunan PRR di kawasan pinggir bandar dan luar bandar boleh dipertimbangkan bagi tujuan pemilikan. 

“Skim PRR akan menampilkan enam elemen penambahbaikan, iaitu penambahbaikan umum, kawasan, blok, reka bentuk unit rumah, spesifikasi unit rumah dan penambahbaikan lain seperti pelaksanaan Q-Lassic serta Pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

“Keluasan lantai kasar minimum PRR ditetapkan 750 kaki persegi dengan harga jualan baharu RM60,000 seunit bermula 2026/2027 selepas projek baharu siap,” katanya. 

Kor Ming menambah, sehingga kini kementeriannya telah menerima 32 lokasi daripada kerajaan negeri secara percuma bagi pembangunan PRR. 

“Dulu bila sebut pembinaan PPR, kementerian perlu beli tanah. Bayar premium tanah sahaja, 30 peratus belanja sudah hilang. Kini kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri. 

“Mana-mana pihak termasuk swasta yang sudi derma tanah dan serah tanah kepada kementerian, akan diberikan keutamaan untuk membina PRR dan kos tanah adalah sifar,” jelasnya.-BH Online