PADANG RENGAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia sebagai negara pertama disebut dan dipersetujui sebagai rakan baharu BRICS oleh lima anggota asalnya iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.
Perdana Menteri berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh rakan sejawatnya dari Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali, sewaktu pertemuan empat mata itu di Kompleks Seri Perdana, semalam.
Beliau berkata, apa yang dimaklumkan Perdana Menteri Ethiopia itu menunjukkan perkembangan positif berhubung potensi penyertaan Malaysia ke dalam blok yang secara kolektif merangkumi satu per lima daripada perdagangan global itu.
“Dia (Abiy) kata dia baru balik mesyuarat BRICS di Brazil. Dia kata kat saya, Anwar, saya bukan nak puji berlebih-lebihan, tapi saya tengok imej Malaysia sangat baik sekarang kerana lebih 30 negara nak minta masuk jadi ahli BRICS.
“Dia (Abiy) kata dalam mesyuarat negara asas, yang dipengerusikan Presiden Russia, Vladimir Putin, sebelah kanannya Presiden China, Xi Jinping, sekiri dia Perdana Menteri India, Narendra Modi.
“Dia (Abiy) kata nama negara pertama diusulkan (adalah) Malaysia. Putin cadang (dan terima) sokongan kuat dan padu daripada China, India, Brazil, Ethiopia dan Afrika Selatan terus tiada soal, terima Malaysia sebagai rakan BRICS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Padang Rengas di Arena Square Pekan Isnin, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar menyeru semua pihak terutama pegawai kerajaan supaya menginsafi pandangan positif negara asing terhadap Malaysia, dengan bekerja lebih kuat.
“Saya nak bangga Malaysia ini bukan kerana bangunan tinggi, bukan kerana projek besar raksasa tetapi kerana rakyat terbela, itu yang penting,” katanya.
Malaysia secara rasmi diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan baharu dalam BRICS Khamis lalu.
Selain Malaysia, 12 negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turkiye, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
BRICS pada asalnya merangkumi empat negara iaitu Brazil, Russia, India, dan China, ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi yang sedang membangun, sebelum Afrika Selatan menyertainya pada 2010.
Sejak itu, blok itu sudah berkembang untuk termasuk Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.-BH Online