Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PONTIAN: Peruntukan RM10 juta diperlukan bagi membaiki cerun runtuh di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley FT185, laluan menghubungkan Simpang Pulai, Perak dengan Cameron Highlands, Pahang.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata taklimat kejadian diberikan Cawangan Kejuruteraan Cerun Kementerian Kerja Raya ketika mesyuarat pra Kabinet, semalam. 

Katanya, kos terbabit merangkumi kerja membaiki kerosakan jalan raya supaya laluan berkenaan selamat digunakan selain pengukuhan cerun.

“Jurutera Daerah serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dan Pahang diminta supaya terus mengawasi keadaan supaya tindakan segera dapat dilakukan sekiranya berlaku runtuhan di kawasan cerun lain.

“Begitu juga dengan Cawangan Kejuruteraan Cerun Kementerian Kerja Raya akan mengawasi runtuhan cerun terbabit dan memberikan laporan mengenai perkembangannya dari masa ke semasa kepada pengurusan tertinggi kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Pengamalan Sakinah Daerah Pontian di Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan insiden cerun runtuh di KM43.4, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran sempadan negeri Pahang menyebabkan laluan itu ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, dilaporkan berkata, penutupan jalan bagi kedua-dua arah itu bermula jam 5 petang bagi memberi laluan kerja-kerja pembersihan jalan sehingga selesai.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta memaklumkan notis penutupan jalan itu menerusi hantaran di Facebook (FB) rasminya semalam dengan laluan itu akan ditutup sepenuhnya sehingga keadaan selamat.

Sebagai rekod, pada 18 September 2021, media melaporkan tanah runtuh berlaku di Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, menyebabkan laluan itu di Seksyen 43.9 ditutup sepenuhnya kepada semua aliran trafik bermula 9 malam, hari sama.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pembinaan laluan sementara perlu dilakukan memandangkan masih terdapat pergerakan tanah yang menyebabkan laluan tersebut masih tidak boleh dibuka.

“Laluan sementara atau ‘alih arah’perlu dibina bagi memastikan laluan penting ke Cameron Highlands tidak terputus kerana ia akan menjejaskan banyak pihak,” katanya.-BH Online