Ipoh: Polis akan mengadakan mesyuarat khas bersama kira-kira 20 agensi dalam usaha mengesahkan serta mengenal pasti punca sebenar gegaran dan dentuman kuat yang berlaku di beberapa kawasan bandar raya Ipoh serta kawasan sekitar.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata mesyuarat khas yang dijadualkan berlangsung Selasa ini adalah bagi mendapat pengesahan daripada semua agensi kerajaan serta swasta yang berkaitan mengenai dentuman itu.
“Saya sudah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Perak untuk memanggil semua agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan, lebih kurang 20 agensi untuk bermesyuarat bersama saya pada Selasa ini.
“Semua yang dipanggil adalah agensi tempatan, tetapi kalau membabitkan pakar daripada luar yang dirasakan perlu maka kita akan panggil yang mana ia atas jabatan yang berkenaan,” katanya dalam sidang media sempena program Festival Kesenian Islam Nasyid Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini malam ini.
Aziz berkata, punca dentuman yang berlaku pada 21 Oktober lalu yang juga dapat dirasai di Gerik dan Sungai Siput, sehingga kini kekal misteri kerana ketiadaan bukti sahih untuk mengenal pasti punca gegaran berkenaan.
Menurutnya, mesyuarat khas itu diadakan adalah atas inisiatif kendiri PDRM atas faktor keamanan, keselamatan, ketenteraman awam, sekali gus menghindari kegusaran awam tanpa dipengaruhi gesaan mana-mana pihak.
“Ini adalah antara inisiatif saya. Saya ambil tanggungjawab itu untuk saya lapor perkara ini kepada pihak atasan dan pemegang taruh termasuk rakyat, menteri, perdana menteri, dan menteri besar yang harus saya perjelaskan.
“Selepas itu saya akan buat kenyataan sama ada perkara ini boleh keluar bersama dengan solusi, atau saya dapat hebahkan kepada semua rakyat Perak supaya dapat tentukan yang mereka selamat,” katanya.
Isnin lalu, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput, kira-kira 11.06 pagi.
Gegaran dalam tempoh beberapa saat itu turut disusuli dengan bunyi dentuman kuat hingga mengakibatkan orang ramai terkejut dan cemas.-Berita RTM