Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia untuk mengetahui punca sebenar insiden pencemaran di Pantai Esen, Pulau Pinang.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata beberapa sampel sudah diambil di tiga lokasi di pantai berkenaan pada Isnin lalu untuk dianalisis.

“Sampel sudah dikemukakan kepada Jabatan Kimia untuk mendapatkan analisis berhubung punca kejadian itu. 

“Sehingga itu (keputusan dikeluarkan), (perkara) yang lain-lain, saya tidak boleh komen,” katanya selepas Sesi Libat Urus bersama Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) di Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) hari ini.

Turut hadir, Naib Pengerusi ADFIM, Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah.

BH sebelum ini melaporkan keadaan Pantai Esen yang kini dipenuhi lumpur selut dan berbau dengan air pantainya berwarna kehitaman, dipercayai ada kaitan dengan projek penambakan yang terletak tidak jauh daripada kawasan pantai berkenaan.

Pencemaran itu dilaporkan turut memberi kesan kepada pengusaha sukan air dan pengunjung kerana tidak dapat mandi-manda di kawasan terbabit.

Sementara itu, mengulas sesi libat urus itu, Nik Nazmi menyifatkannya penting kerana membolehkan kerajaan berbincang dengan institusi pembangunan kewangan (DFI) berhubung kekangan kewangan dalam usaha memastikan kelestarian alam di Malaysia.

“Dalam soal peralihan, sama ada mengenai tenaga, konservasi, biodiversiti, mengatasi pencemaran dan sebagainya, isu kewangan adalah penting kerana kerajaan ada had untuk membiayainya.

“Pihak swasta pula biasanya lebih berhati-hati terhadap risiko dan mereka melihat perkiraan pasaran dalam membuat pertimbangan. Jadi dalam perkara ini, pembabitan dengan DFI menjadi sangat relevan bagi dapatkan pembiayaan dalam kelestarian,” katanya.

Terdahulu, ketika sesi libat urus itu, Nik Nazmi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara 

ADFIM dan auctusESG Private Limited, sebuah syarikat penasihat pakar dalam kewangan mampan; alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan peralihan iklim di India. 

ADFIM diwakili Setiausaha Agungnya, Mohd Prasad Hanif, manakala auctusESG diwakili Pengasas dan Pengarah Urusannya, Namita Vikas.

MoU berkenaan menyaksikan ADFIM dan auctusESG bakal berkolaborasi dan memanfaatkan kepakaran serta pengalaman secara kolektif untuk menyampaikan perkhidmatan yang membolehkan DFI di Malaysia memacu penghijauan dalam sektor kewangan. – BERNAMA