Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan tindakan undang-undang membabitkan isu penyelewengan dana latihan juruterbang bernilai jutaan ringgit terhadap sebuah syarikat tempatan sedang dibicarakan di mahkamah.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebelum ini MARA sudah membayar sejumlah RM2.4 juta untuk pembiayaan 39 pelajarnya kepada syarikat berkenaan yang bertindak menguruskan program latihan kadet juruterbang di Republik Czech.

Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat itu gagal menunaikan tanggungjawab berkenaan menyebabkan MARA mengeluarkan tambahan kos untuk membayar Lesen Juruterbang Komersial (CPL) terus kepada Pusat Latihan Penerbangan Czech (CATC) di Republik Czech bagi mengelak pembelajaran pelajar tajaannya terjejas.

“Justeru secara keseluruhannya seramai 39 pelajar MARA itu tidak mempunyai sebarang masalah kerana 38 pelajar yang menamatkan pengajian mereka sudah mendapat pekerjaan.

“Hanya seorang saja lagi pelajar sedang melanjutkan pengajian dalam negara yang akan tamat menjelang tahun depan, jadi tiada sebarang masalah berbangkit membabitkan pelajar di bawah tajaan MARA yang mengikuti kursus juruterbang itu,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Terdahulu, dilaporkan sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Shah Alam, yang menguruskan program latihan kadet juruterbang di Republik Czech, gagal menunaikan tanggungjawabnya. 

Kegagalan syarikat itu memberi kesan kerugian kewangan besar kepada keluarga terutamanya pelajar yang menanggung sendiri yuran sepenuhnya.

Asyraf Wajdi berkata, isu penyelewengan itu berlaku pada 2018 dan pihak MARA sudah menghantar surat saman pada 2022 dan kes itu kini sedang dibicarakan sehingga kini.

“MARA ingin menegaskan bahawa kemudahan pengajian yang disediakan kepada 39 orang kadet juruterbang sentiasa diberikan perhatian sebagai usaha memastikan segala kebajikan pelajar dijaga hingga mereka tamat pengajian dengan jayanya.

“Isunya sekarang ialah pelajar yang membayar sendiri yuran kepada syarikat yang menguruskan program itu, ia tiada kaitan dengan MARA,” katanya.-BH Online