Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan notis kepada pihak didakwa menaikkan harga barangan keperluan terutama rempah ratus hingga 250 peratus menjelang sambutan Deepavali.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata semakan pihaknya mendapati berlaku pergerakan harga tetapi buka untuk semua barangan seperti dinyatakan oleh Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA).

Katanya, beberapa notis dikeluarkan kepada pihak berkenaan untuk menjawab asas kenaikan harga sebelum mengambil tindakan. 

“Kita menerima laporan melalui media. Walaupun tidak diadukan secara rasmi di platform aduan KPDN, kita berterima kasih kerana ini antara maklum balas yang diharapkan daripada masyarakat.

“Kita terus membuat pemantauan dan mengeluarkan beberapa notis kepada pihak berkenaan untuk dijawab.

“Kita sedang teliti dan sekiranya ada elemen pencatutan, kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di sini, hari ini. 

Mengenai isu dibangkitkan PHA, Armizan berkata, perbandingan dibuat adalah bagi tempoh antara Oktober 2023 dengan September 2024.

Beliau menjelaskan, wujud trend pergerakan harga bukan hanya pada musim perayaan tetapi juga berdasarkan faktor penawaran dan permintaan.

“Kerajaan tidak akan lepas tangan tetapi pergerakan harga itu perkara yang kita perlu hadapi. 

“Kerajaan mempunyai program intervensi dan mitigasi, ini yang akan kita buat untuk meringankan beban masyarakat.

“Jika ada pergerakan harga yang cukup besar, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) kita berlangsung setiap minggu.

“Kita akan bincang dengan pasar raya untuk memasukkan produk tertentu bagi meringankan beban masyarakat,” katanya.

Rabu lalu, Presiden PHA, Datuk P Murugiah mendakwa peningkatan harga barangan keperluan terutama rempah ratus mencecah 250 peratus menjelang sambutan Deepavali. 

Ia berdasarkan tinjauan di beberapa kedai runcit susulan aduan diterima dan mendapati berlaku peningkatan harga membimbangkan.

Sementara itu, berkenaan ayam yang tiada dalam senarai SHMMP Deepavali 2024, Armizan berkata, pihaknya menjalankan pemantauan setiap hari terhadap 480 item termasuk ayam super dan ayam standard. 

Setakat ini, katanya, tidak berlaku pergerakan harga luar biasa terhadap penawaran ayam di seluruh negara.-BH Online