Malaysia menekankan kepentingan pengintegrasian dasar inklusif dalam rangka kerja pengurusan bencana ASEAN untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri menyampaikan penekanan itu dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-12 di Brunei, bermula semalam hingga esok.
“Malaysia juga akan memperhebatkan penyertaan dalam mekanisme serantau seperti ASEAN Standby Arrangements (SASOP) bagi memastikan tindak balas kecemasan bencana dapat diselaraskan dengan cekap dan tepat pada masanya.
“Ini termasuk penilaian aset dan keupayaan negara untuk menyokong tindak balas serantau yang lebih pantas dan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata penekanan juga akan diberi terhadap peranan aktif Malaysia dalam menyokong Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre).
Katanya, Malaysia juga akan terbabit dalam latihan dan simulasi seperti Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Serantau ASEAN (ARDEX) dan Pelan Tindak Balas Bencana Bersama ASEAN (AJDRP).
“Malaysia menawarkan khidmat daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara ASEAN yang mengalami kesan bencana teruk,” katanya.
Beliau berkata, SMART adalah satu-satunya pasukan elit penyelamat dari ASEAN dan pasukan kedua di Asia selepas Jepun, yang diiktiraf oleh International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) di bawah United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA).
Ahmad Zahid menegaskan, Malaysia akan terus komited dalam pengurusan risiko bencana, dan AMMDM membuktikan komitmen Malaysia untuk meningkatkan daya tahan bencana di seluruh rantau ini.
Katanya, cabaran perubahan iklim memerlukan kerjasama serantau yang erat.
“Dalam hal ini, Malaysia akan terus menyelaraskan strategi dari Persidangan Menteri Asia Pasifik Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) yang berlangsung di Manila baru-baru ini.
“Ini akan membantu memperkukuh daya tahan kolektif ASEAN dalam menghadapi cabaran baharu,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, menerusi kerjasama dan perkongsian kepakaran, ASEAN mampu membina dan meningkatkan keupayaan rantau bagi mendepani cabaran mendatang.
Tegasnya, komitmen Malaysia dalam memperkukuh daya tahan bencana melalui inisiatif tempatan dan serantau termasuk Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030 dan program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM).
“Ini membabitkan kumpulan rentan seperti wanita, warga emas, dan orang kurang upaya,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan, dasar dan program itu jelas menunjukkan komitmen Malaysia terhadap pengurusan risiko bencana dengan tumpuan kepada mitigasi risiko.
Beliau turut menyatakan usaha Malaysia untuk mengadaptasi penggunaan teknologi dalam pengurusan bencana. Melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir Nasional (PRABN), yang mampu meramal banjir sehingga tujuh hari lebih awal dan mengeluarkan amaran kepada orang awam dalam tempoh 48 jam.
“Inovasi ini adalah satu daripada langkah penting dalam mempertingkat kecekapan tindak balas bencana,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu turut diperkukuh dengan pelaburan besar dalam infrastruktur kritikal bagi memastikan perkhidmatan penting terus beroperasi ketika bencana.
Ahmad Zahid kini berada di Brunei bagi mewakili Malaysia pada AMMDM yang bertemakan ‘Membangunkan ASEAN yang Berdaya Tahan melalui Pemulihan Bencana yang Inklusif dan Mampan’, yang menekankan kepentingan usaha bersama dalam menghadapi peningkatan kekerapan dan kesan bencana alam. – BERNAMA