Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan soal tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak akan sesekali diketepikan meskipun berlaku penggabungan membabitkan Bank Pembangunan, SME Bank dan EXIM Bank.

Perdana Menteri berkata, meskipun terlalu awal untuk mengulas penggabungan itu, namun syarat berkaitan PMKS dan pinjaman Bumiputera tetap dijadikan sebagai satu ukuran dan dasar daripada proses itu.

“Soal penggabungan tiga bank walaupun masih dalam proses saya setuju dengan gesaan Yang Berhormat bahawa soal tumpuan kepada PMKS itu tidak akan diketepikan. 

“Di antara syarat-syarat yang ditekankan oleh Bank Negara yang memantau soal penggabungan walaupun terlalu awal untuk saya berikan komen, tetapi syarat PMKS (dan) syarat pinjaman Bumiputera itu tetap dijadikan satu ukuran dan dasar daripada penggabungan ini.

“Soal berapa jumlah dari RM1 billion itu saya akan minta notis dan berikan secara bertulis berapa yang telah disalurkan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ismail (PN-Kubang Pasu) kebimbangan penggabungan tiga bank itu berisiko menjejaskan tumpuan kepada PMKS, selain status pembiayaan RM1 bilion melalui BSN Agro dan Tekun Nasional.

Mengenai soalan Ku Rahman berkaitan Pelan khusus kerajaan dalam menjayakan agenda Pelan Transformasi Putera 2030, Perdana Menteri berkata agenda Bumiputera akan diteruskan kerajaan walaupun penekanan agak berbeza.

“Umpamanya kalau dalam strategi bersama dalam pembasmian kemiskinan, peningkatan taraf hidup itu menyeluruh dan tidak dikategorikan sebagai Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Begitu juga tentang mutu pendidikan dan kesihatan. Tapi apabila saya cakap, saya umum begini kerana kita biasa dengan ‘racial profiling’ (profil berasaskan kaum) sebelum ini, maka kadang-kadang timbul gesaan daripada Bumiputera, daripada India atau masyarakat Cina. 

“Jadi saya nak jelaskan itu pendekatan bila kita tumbuh ekonomi dan pacu, dan pinjaman itu menyeluruh kepada semua. Namun bagi khusus untuk Bumiputera, itu diteruskan kerana pertamanya dasar yang jelas termasuk Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan keduanya tentang kesenjangan yang merata,” katanya.-BH Online