Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan komitmennya untuk membantu PERODUA mencapai sasaran menghasilkan kenderaan elektrik (EV) bernilai di bawah RM100,000 yang pertama di Malaysia menjelang akhir 2025.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata MITI akan memberi sokongan melalui fasilitasi dan pembangunan ekosistem bagi memastikan kemampuan dan pertumbuhan infrastruktur EV di Malaysia.

“Matlamat utama bantuan itu adalah untuk menjadikan kereta EV lebih mampu milik. PERODUA telah mengadakan perbincangan dengan MITI mengenai rancangan mereka namun MITI tidak terbabit dalam operasi harian syarikat. 

“MITI hanya akan memudahkan dan mencari cara untuk membantu mereka mencapai sasaran itu,” katanya semasa Majlis Pelancaran Rasmi Jac Motors, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, syarikat itu juga memerlukan sokongan kerajaan dalam mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk mencapai matlamat ini, dengan menghasilkan kereta EV pertama di bawah RM100,000 di Malaysia.

“Pada masa ini, harga kereta EV melebihi RM100,000, dan tiada di bawah RM100,000 yang dihasilkan dalam negara. Oleh itu, MITI menggalakkan dua syarikat besar iaitu PERODUA dan PROTON untuk menghasilkan kereta EV yang mampu milik di bawah harga RM100,000. 

“Bagaimanapun, MITI optimis bahawa PERODUA mampu mencapai sasaran itu menjelang tahun depan,” katanya. 

Beliau berkata, sehingga September 2024, sebanyak 15,780 kenderaan elektrik bateri (BEV) telah didaftarkan di Malaysia, melebihi kira-kira 13,257 unit yang didaftarkan sepanjang 2023. 

Katanya, momentum positif ini membawa kerajaan lebih dekat kepada sasaran 20 peratus daripada jumlah jualan industri (TIV) terdiri daripada EV menjelang 2030.

“Selain itu, infrastruktur pengecasan negara juga berkembang dengan pesat. Sehingga akhir September, Malaysia telah memasang hampir 3,171 stesen pengecas awam, di mana 26 peratus atau 813 adalah pengecas pantas. 

“Dalam tempoh hanya tiga bulan, sebanyak 565 pengecas baharu telah ditambahkan ke rangkaian. Menjelang akhir 2025, kami bercadang untuk mempunyai 10,000 pengecas awam, mengurangkan nisbah pengecas kepada EV kepada satu nisbah sembilan,” katanya.-BH Online