Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Timbalan Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia baharu, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mendoakan agar hubungan serumpun kedua-dua negara terus diperkukuh dan berkembang dengan lebih erat bawah kepimpinan baharu.

“Tahniah saya ucapkan kepada Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto yang telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ke-8 hari ini.

“Tahniah juga kepada Saudara Gibran Rakabuming Raka atas pelantikan sebagai Wakil Presiden Indonesia.

“Insya-Allah, kita akan terus berusaha bersama untuk membina masa depan yang lebih baik demi kesejahteraan dan kemajuan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Dalam pada itu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan juga mengucapkan ucapan sama kepada Prabowo.

Mohamad menerusi satu hantaran di Facebook turut mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka.

“Saya doakan agar ikatan serumpun Malaysia-Indonesia semakin utuh atas pelantikan ini. Insya-Allah.

“Ribuan tahniah kepada Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ke-8 sebentar tadi.

“Tahniah juga kepada Gibran Rakabuming Raka selaku Wakil Presiden Indonesia,” katanya.

Prabowo, 73, merupakan Presiden Indonesia ke-8 selepas memenangi Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari lalu dengan memperoleh 59 peratus undi.

Beliau, bersama-sama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, 37, berjaya menewaskan pencabar mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo masing-masing meraih kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi.-Berita RTM